- Iklan -
Berita

Slogan ‘Malu apa Bossku’ ibarat kencing di depan tetamu kehormat asing, kata Dr Mahahtir

Mahathir berkata, rakyat terpesong dengan budaya dan hujah yang dibawa oleh Barisan Nasional dan Najib sekali gus mencemarkan imej negara di negara luar.

Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Najib Razak menggunakan slogan 'Bossku' sejak jatuh dari tampuk pentadbiran kerajaan pada 2018. Gambar: Facebook
Najib Razak menggunakan slogan 'Bossku' sejak jatuh dari tampuk pentadbiran kerajaan pada 2018. Gambar: Facebook

Pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad manyamakan slogan “Malu apa Bossku” oleh Najib Razak ibarat seorang lelaki berbogel menerima kunjungan tetamu kehormat asing dan kemudian kencing di hadapannya.

Beliau berkata, inilah budaya yang dipromosikan Najib apabila tidak menganggap perbuatan mencuri sebagai satu kesalahan serta tidak memalukan negara.

Akibatnya, Mahathir berkata, rakyat terpesong dengan hujah yang dibawa oleh Barisan Nasional (BN) dan Najib sekali gus mencemarkan imej negara di negara luar.

“Inilah budaya yang dibawa oleh Najib. Budaya tak malu,” katanya pada sidang media pelancaran Aspirasi Johor Parti Pejuang, di Putrajaya, hari ini.

Menurut Mahathir, Aspirasi Johor yang diperkenalkan Pejuang bertujuan untuk kembalikan budaya asal negara yang bermaruah di mata pemimpin asing.

Dalam perkembangan lain, Mahathir turut menafikan dakwaan Najib, kononnya beliau meminta bantuan untuk menyokong projek kroninya.

“Kalau saya ada kroni, saya sendiri akan jaga kroni saya,” katanya berseloroh.

“Saya tidak ada kroni, saya ada orang yang berkebolehan. Saya tidak akan tolong mereka yang tidak ada kebolehan.”

Najib sebelum ini mendakwa Mahathir mula memberi tekanan kepadanya ketika menjadi perdana menteri supaya terus agar memberikan projek kepada kroninya.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, individu atau pihak yang hanya ditolong ketika era pentadbirannya ialah mereka yang berupaya menyumbang kepada kemajuan negara.

Malah, beliau turut mencabar Najib supaya mendedahkan bukti mahkamah bagi membuktikan segala dakwaan yang dibuat.

“Malangnya orang yang saya tolong banyak, tetapi yang gagal tidak pula dikenalkan sebagai kroni.

“Tunjukkan bukti, seperti mana kami tunjukkan di mahkamah bahawa Najib melakukan penyelewengan,” katanya dan menambah bahawa dakwaan Najib hanyalah tuduhan palsu.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.