- Iklan -
Berita

Peguam positif Covid, bicara kes rasuah Bung Moktar, isteri ditangguh

Dua lagi peguam yang masing-masing mewakili pasangan suami isteri itu turut menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isteri Zizie Izette A Samad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Disember. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isteri Zizie Izette A Samad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Disember. Gambar: Bernama

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menangguhkan perbicaraan kes rasuah dihadapi ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isteri, Zizie Izette Abdul Samad berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad setelah seorang peguam yang mewakili Zizie disahkan positif Covid-19.

Peguam Ridha Abdah Subri yang hadir bagi pihak Bung dan Zizie memberitahu hakim Rozina Ayob bahawa peguam itu yang mewakili tertuduh kedua (Zizie Izette) telah disahkan positif pada 20 Februari dan dikuarantin hingga 26 Februari ini.

“Seorang lagi peguam yang mewakili Zizie Izette iaitu K Kumaraendran dan M Athimulan yang mewakili Bung adalah kontak rapat kepada peguam berkenaan serta kedua-dua peguam itu turut dikuarantin,” kata Ridha Abdah.

Pasangan suami isteri itu hadir pada prosiding hari ini.

Hari ini ditetapkan untuk mendengar permohonan pendakwaan untuk menyoal balas seorang saksi utamanya, Norhaili Ahmad Mokhtar, 45, yang juga saksi pendakwaan ke-25 dalam perbicaraan kes rasuah berkenaan.

Rozina kemudian menetapkan 3 Mac ini untuk mendengar permohonan pendakwaan yang dibuat mengikut Seksyen 154 Akta Keterangan 1950.

Prosiding itu turut dihadiri timbalan pendakwa raya Law Chin How.

Pada 3 Mei 2019, Bung mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung, 64, yang merupakan pengerusi bukan eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie di Public Bank cawangan Taman Melawati antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai sebanyak RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie, atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie, 44, pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.