- Iklan -
Berita

Agong gesa ahli Parlimen kekalkan kestabilan politik melalui MoU kerajaan-pembangkang

Sultan Abdullah mengucapkan tahniah terhadap 'kematangan politik’ yang ditunjukkan dalam persefahaman kerajaan bersama pemimpin Pakatan Harapan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyampaikan titah diraja pada pembukaan Mesyuarat ke-5 Parlimen ke-14 hari ini. Gambar: Bernama
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyampaikan titah diraja pada pembukaan Mesyuarat ke-5 Parlimen ke-14 hari ini. Gambar: Bernama

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini menggesa ahli-ahli Parlimen supaya mengekalkan kestabilan politik yang dicapai melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kerajaan dan pembangkang tahun lalu, mengatakan ia akan memastikan kejayaan agenda pembangunan negara bagi manfaat rakyat dan negara secara keseluruhannya.

Dalam titah diraja pada pembukaan sidang Parlimen bagi Mesyuarat Kelima Parlimen ke-14 hari ini, Sultan Abdullah menyatakan kesyukuran di atas kestabilan negara susulan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani pada September tahun lalu.

“Hasil kesepakatan dan kematangan ini, pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 berjaya diluluskan melebihi dua pertiga ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Disember lalu,” katanya.

“Sesungguhnya peristiwa tersebut bakal terpahat sebagai detik bersejarah buat seluruh rakyat Malaysia.”

MoU tersebut ditandatangani pada 13 September oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin utama Pakatan Harapan: Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Lim Guan Eng dan Wilfred Madius Tangau.

Kandungannya antara lain menyentuh isu Perjanjian Malaysia (MA63) berhubung hak Sabah dan Sarawak selain pengukuhan langkah bagi menangani Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebabasan badan kehakiman dan pembentukan jawatankuasa pemandu dwi partisan.

Sultan Abdullah hari ini turut berkata “kematangan politik ” yang ditunjukkan sudah lama didambakan oleh rakyat.

“Melangkah ke hadapan, beta menyeru kepada sekalian ahli-ahli yang berhormat untuk terus mengekalkan persefahaman yang telah terbina dan juga memelihara kestabilan politik yang telah tercapai,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.