- Iklan -
Berita

Agong ucap tahniah kerajaan berjaya tingkatkan pelaburan Malaysia, kurangkan pengangguran

Sultan Abdullah memetik Indeks Peluang Global Milken Institute 2022 yang meletakkan Malaysia berada pada kedudukan No. 1 dalam Asia Tenggara.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan udara bangunan pencakar langit KL118 yang sebelum ini dikenali sebagai Warisan Merdeka yang mempunyai ketinggian 644 meter.
Pemandangan udara bangunan pencakar langit KL118 yang sebelum ini dikenali sebagai Warisan Merdeka yang mempunyai ketinggian 644 meter.

Yang di-Pertuan Agong hari mengucapkan tahniah di atas kejayaan kerajaan yang berjaya menyediakan lebih dari 500,000 peluang pekerjaan sekali gus meningkatkan pelaburan dalam negara sehingga melebihi RM220 bilion pada pada 2021.

Dalam titah dirajanya pada pembukaan Mesyuarat Kelima Parlimen ke-14 hari ini,
Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata antara petunjuk pemulihan ekonomi adalah kadar pengangguran yang semakin berkurangan selain pasaran buruh yang bertambah baik.

“Beta mengucapkan syabas atas kejayaan kerajaan menyediakan sejumlah 558,633 penempatan pekerjaan kepada rakyat beta berbanding sasaran sebanyak 500,000 bagi tahun 2021.

“Manakala bagi tahun 2022 di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia, kerajaan menyasarkan penyediaan hampir 600,000 peluang pekerjaan.”

Menurutnya, pemulihan ekonomi negara adalah demi kelangsungan perniagaan serta penjanaan semula aktiviti ekonomi selain memastikan Malaysia kekal sebagai pengeksport dan destinasi pelaburan utama di rantau ini.

“Tindakan proaktif kerajaan dalam mencerdas dan meningkatkan prestasi pelaburan dan perdagangan negara demi menjana pertumbuhan ekonomi yang lestari telah mendapat pengiktirafan dari institusi global,” katanya.

Menurut indeks menurut Indeks Peluang Global Milken Institute 2022, Malaysia berada pada kedudukan No 1 dalam Asia Tenggara sebagai negara paling berpotensi untuk menarik pelabur asing bagi kategori negara membangun.

Penilaian tahunan ini, yang dibuat untuk membantu memaklumkan keputusan pelaburan global pelabur dan pembuat dasar, menilai sebuah landskap pelaburan ekonomi dengan menggunakan pembolehubah seperti prospek ekonomi makro, akses kepada perkhidmatan kewangan, potensi untuk inovasi dan pembangunan masa depan, dan banyak lagi.

Indeks Peluang Global 2022 itu termasuk satu laporan yang memberi tumpuan kepada Asia Tenggara yang membangun, sebuah rantau yang kemasukan modal boleh membawa kepada peningkatan inovasi, penciptaan peluang pekerjaan dan berdaya saing.

Dalam pada itu, Sultan Abdullah juga memetik data jumlah pelaburan diluluskan pada 2021 bagi sektor perkilangan dan perkhidmatan, mengatakan pencapaian prestasi pelaburan dalam negara juga sangat memberangsangkan.

“Jumlah pelaburan yang diluluskan pada tahun 2021 bagi sektor perkilangan dan perkhidmatan di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) bernilai RM220.8 bilion dengan 80,000 peluang pekerjaan baru turut dicipta bagi bakat-bakat tempatan.

“Ini menjadikan sasaran jumlah eksport negara seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 sebanyak RM1.25 trilion menjelang tahun 2025 telah berjaya dicapai empat tahun lebih awal,” katanya sambil menyatakan beliau yakin kejayaan ini mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap asas-asas ekonomi dan ekosistem pelaburan negara.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.