Dr Mahathir Mohamad meneruskan serangan terhadap Najib Razak, kali ini mengatakan pemimpin Umno itu akan dicatatkan dalam buku sejarah sebagai seorang penjenayah yang disabitkan kesalahan mencuri berbilion ringgit.
“Adalah mustahil Najib dan jenayah yang dilakukan olehnya tidak disebut. Demikian naluri manusia sesuatu itu akan diterima apabila diulangi berkali-kali.
“Saya bukanlah seorang sahaja yang menyebut nama Najib dan kaitannya dengan jenayah. Buku sejarah akan catit nama Najib supaya generasi akan datang kenal Najib sebagai penjenayah yang curi duit berbillion yang mahkamah telah sahkan,” kata Mahathir dalam blognya hari ini.
Najib dijatuhkan hukuman selama 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah bagi tujuh pertuduhan salah guna dana SRC International, sebuah entiti yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.
Hukuman tersebut turut dikekalkan di Mahkamah Rayuan tahun lalu di mana hakim mengatakan jenayah dilakukannya mendatangkan malu kepada negara.
Mengenang sejarah lampau, Mahathir yang berjaya memimpin gabungan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan Najib sekali gus meruntuhkan pentadbiran 60 tahun Umno berkata ,pengasas awal negara sentiasa dikaitkan dengan pencapaian besar nasional.
Beliau berkata Tunku Abdul Rahman dikenali dengan banyak sumbangan termasuk jasanya dalam kemerdekaan negara.
Ia kemudian turut disusuli Abdul Razak Hussein, bapa kepada Najib yang terkenal sebagai bapa pembangunan.
Mahathir berkata, ketika Razak meninggal dunia Najib tidak dikenali.
“Malangnya Najib pilih jenayah untuk dikait rapat dengan dirinya. Tidak seperti bapanya, Najib lihat kuasa sebagai peluang untuk memperkayakan dirinya.
“Demikianlah skala jenayahnya sehingga seluruh dunia mengenali Najib dan jenayah yang dilakukan olehnya.”
Dalam pada itu, Mahathir turut mempersendakan slogan “Malu apa Bossku”, mengatakan Najib sebaliknya cuba padam kaitannya dengan jenayah dengan mendakwa tidak salah jika pemimpin mencuri.
“Diberi gelaran pada dirinya sebagai boss, dan tiada siapa perlu malu apabila boss curi.
“Anggapan perlakuan jenayah tidak memalukan bercanggah dengan nilai hidup masyarakat manusia dan masyarakat Malaysia. Jika tidak disangkal akan rosaklah masyarakat.”