- Iklan -
Berita

Peguam banduan bilik akhir Singapura selar usaha kenakan penalti terhadap mereka

Kos peribadi yang mahu dikenakan terhadap M Ravi dan Violet Netto oleh peguam negara Singapura dilihat sebagai satu bentuk gangguan terhadap peguam bela banduan bilik akhir.

Our Regional Correspondent
2 minit bacaan
Kongsi
Mahkamah Agung Singapura yang terdiri dari Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Gambar: AFP
Mahkamah Agung Singapura yang terdiri dari Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Gambar: AFP

Mahkamah Tinggi Singapura hari ini menangguhkan penghakiman kes warga Malaysia Pausi Jefridin dan Roslan Bakar yang berasal dari negara itu ketika Jabatan Peguam Negara memohon penalti dikenakan ke atas dua peguam yang mewakili dua banduan bilik akhir itu.

Susulan itu, hukuman mati terhadap Roslan dan Pausi kini ditangguhkan, di mana sebelum ini mereka dijadualkan untuk menjalani hukuman mati pada 16 Februari, satu tindakan yang mencetuskan kritikan terhadap negara itu yang masih meneruskan peruntukan hukuman mati terhadap keldai dadah.

Bagaimanapun, pendakwa raya kanan Francis Ng yang mewakili peguam negara memohon hakim Kannan Ramesh untuk mengenakan kos peribadi terhadap dua peguam pro bono Violet Netto dan M Ravi.

Kedua-dua peguam yang mewakili Roslan dan Pausi itu menyelar tindakan hakim terhadap mereka.

“Bagaimana anda boleh kenakan penalti sebab kami buat kerja?” dia dipetik seorang peguam Malaysia ketika memberikan respons berhubung kes berkenaan.

“Anda mahu mengancam kami” kata peguam berusia 78 tahun itu.

Ia juga timbul selepas peguam negara Singapura mendakwa Ravi menghina mahkamah berdasarkan tingkah laku beliau sepanjang mengendalikan dua kes pada November tahun lalu.

Dakwaan yang mengatakan Ravi berlaku “biadab” terhadap mahkamah tersebut dikecam kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) dan disifatkan sebagai “alasan yang tidak masuk akal bagi menuduh peguam bela menghina mahkamah”.

Singapura sering dilihat tidak menggalakkan peguam mengambil untuk mengemukakan cabaran undang-undang terhadap banduan bilik akhir dengan mengarahkan kos peribadi terhadap mereka.

Trend sedemikian meningkat dalam bidang kehakiman negara itu sejak kes terkenal melibatkan seorang warga Sarawak Kho Jabing, di mana peguam bela dikenakan perintah kos oleh mahkamah.

Kho menjalani hukuman mati pada Mei 2016.

Kesnya mencetuskan kecaman ramai di mana pihak berkuasa dilihat tergesa-gesa melaksanakan hukuman terhadapnya.

Kho dibawa ke tali gantung pada pukul 3.30 tengah hari, beberapa jam selepas kesnya digugurkan.

Roslan dan Pausi dijadualkan menjalani hukuman gantung kerana didapati bersalah menyeludup dadah ke Singapura, sebuah negara yang mempunyai undang-undang kesalahan dadah yang paling keras di dunia.

Hukuman terhadap mereka diteruskan walaupun mendapat kecaman dan kritikan daripada pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengatakan penggunaan hukuman mati terhadap kesalahan berkaitan dadah tidak selari dengan undang-undang antarabangsa hak asasi manusia.

Kebimbangan turut dibangkitkan berhubung laporan perubatan mengenai ketidakupayaan mental dihidapi mereka yang boleh menjadikan hukuman mati yang dijatuhkan sebagai tidak sah di bawah undang-undang Singapura dan perjanjian antarabangsa.

Bagaimanapun, pada saat akhir, hukuman terhadap mereka berdua diperintah tangguh oleh Presiden Singapura Halimah Yacob pada 17 Februari lalu.

Kes mereka berdua serupa dengan kes Nagaentran K Dharmalingam, seorang lagi rakyat Malaysia yang didiagnosis sebagai OKU mental dengan skor IQ 69.

Dia dihukum mati pada November tahun lalu.

Pelaksanaan hukuman terhadap Nagaenthran juga turut ditangguhkan selepas dia disahkan positif Covid-19 sejurus sebelum mahkamah mendengar rayuan terakhir bagi menyelamatkan nyawanya.

Satu lagi rayuan bagi kesnya dijadualkan pada 1 Mac.