Sebanyak 186 kes iaitu 0.81% daripada 23,100 kes baru Covid-19 yang dicatatkan semalam terdiri daripada Kategori Tiga, Empat dan Lima.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini memaklumkan baki 22,914 kes atau 99.19% terdiri daripada kategori satu dan dua, pertambahan kes baharu ini menjadikan jumlah kumulatif kepada 3,442,736 kes.
“Daripada 186 kes kategori tiga, empat dan lima yang dilaporkan, 39 kes tidak divaksin atau belum lengkap vaksinasi, 84 kes telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak,” katanya.
Beliau berkata pada semalam, kes Covid-19 yang dimasukkan ke hospital adalah sebanyak 1,555 kes dan daripada jumlah itu, 592 kes (38.1%) adalah Kategori Tiga, Empat, dan Lima manakala baki 963 kes (61.9%) terdiri daripada Kategori Satu dan Dua.
Mengenai jumlah kes sembuh, sebanyak 30,624 kes dilaporkan menjadikan kumulatif kes sembuh 3,116,564 di mana kes sembuh melebihi kes baru.
Mengenai penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 di hospital, Noor Hisham berkata lapan negeri menunjukkan peratusan pengisian 50% atau lebih iaitu Sabah sebanyak 53%, Perlis (55%), Perak (58%), Kuala Lumpur (65%), Putrajaya (67%), Melaka (61%), Johor (63%) dan Kelantan (70%).
Dr Noor Hisham berkata secara keseluruhannya, setiap negeri telah bersiap siaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya berlaku peningkatan kes yang memerlukan kemasukan ke pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC), hospital dan ICU.
Mengenai perbezaan data harian kemasukan kes Covid-19 ke hospital berbanding kes Covid-19 Kategori Satu hingga Lima yang baru didiagnosis setiap hari, beliau memaklumkan perkara itu disebabkan keadaan klinikal pesakit yang dinamik iaitu mungkin merosot atau bertambah baik sepanjang dijangkiti Covid-19.
“Misalnya, semasa didiagnosis, mungkin pesakit tersebut berada pada kategori 2A dan diisolasi di rumah melalui perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) digital, namun status kesihatan pesakit boleh merosot ke kategori tiga atau lebih dan memerlukan kemasukan ke hospital.
“Pada masa sama, terdapat juga kes-kes Covid-19 berisiko tinggi daripada kategori satu dan dua yang memerlukan kemasukan ke PKRC dan hospital sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya