- Iklan -
Berita

Mahkamah Singapura tangguh penghakiman bagi rayuan Nagaenthran

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Singapura Sundaresh Menon berkata keputusan tersebut akan dibuat kemudian.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Aktivis memegang gambar Nagaenthran K Dharmalingam dalam satu himpunan penyerahan memorandum untuk menggesa kerajaan Malaysia campur tangan bagi menyelamatkan nyawanya.
Aktivis memegang gambar Nagaenthran K Dharmalingam dalam satu himpunan penyerahan memorandum untuk menggesa kerajaan Malaysia campur tangan bagi menyelamatkan nyawanya.

Mahkamah Rayuan Singapura hari ini menangguhkan penghakiman bagi rayuan kes Nagaenthran K Dharmalingam yang disabitkan hukuman mati atas kesalahan menyeludup dadah pada 2009, di mana ia mencetuskan kecaman antarabangsa terhadap republik tersebut kerana meneruskan penggunaan peruntukan hukuman itu terhadap keldai dadah.

Rayuan Nagaenthran pagi ini didengar oleh panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Singapura Sundaresh Menon, Andrew Phang, Judith Prakash, Belinda Ang dan Chao Hick Tin.

“Kami akan tangguh penghakiman dan akan kembali kepada (kes) anda tidak lama lagi,” kata Sundaresh seperti dilaporkan Bernama.

Nagaenthran diwakili peguam Violet Netto, yang mengambil alih kes tersebut dari peguam hak asasi terkemuka M Ravi.

Nagaenthran, yang didiagnosis mempunyai skor IQ sebanyak 69 – di bawah nilai ambang 70 bagi membolehkan seseorang itu diisytiharkan sebagai orang kurang upaya (OKU) mental – dijadualkan menjalani hukumannya pada November tahun lalu.

Bagaimanapun, pelaksanaannya ditangguhkan selepas banduan bilik akhir itu disahkan positif Covid-19 sejurus sebelum mahkamah dijadualkan mendengar rayuan akhir bagi menyelamatkan nyawanya.

Kes Nagaenthran juga turut mengundang kecaman ramai, sehingga pemimpin Malaysia termasuk Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengutus surat rayuan pengampunannya kepada presiden Singapura.

Singapura tetap bertegas Nagaenthran sedar dengan setiap tindakannya, selain mengatakan dia memalsukan keadaan mental dihidapinya dengan mengubah kelayakan akademik bagi menunjukkan IQ yang rendah.

Kerajaan Singapura sering memetik undang-undang kerasnya berkesan mencegah jenayah berkaitan dadah.

Namun pengkritik berkata kebanyakan yang disabitkan hukuman mati di negara itu adalah dalam kalangan keldai dadah yang berasal daripada keluarga miskin, sementara raja dadah yang mengupah mereka sering terlepas bebas tanpa sebarang hukuman.

Keputusan hakim hari ini untuk menangguhkan penghakiman adalah susulan daripada keputusan serupa semalam, di mana Mahkamah Tinggi republik itu menangguhkan hukuman warga Malaysia Pausi Jefridin dan Roslan Bakar yang merupakan warga Singapura dan turut didiagnosis sebagai OKU mental.

Pelaksanaan hukuman terhadap mereka berdua juga turut diperintah tangguh oleh Presiden Singapura Halimah Yacob di saat akhir pada 17 Februari lalu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.