- Iklan -
Berita

SPRM masih siasat Vinod Sekhar

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, badan itu akan memanggil beberapa individu untuk membantu siasatan bergantung kepada keperluan.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli perniagaan Vinod Sekhar. Gambar: Facebook
Ahli perniagaan Vinod Sekhar. Gambar: Facebook

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat kes melibatkan ahli perniagaan, Vinod Sekhar dan akan memanggil beberapa individu bergantung kepada keperluan siasatan, kata ketua pesuruhjayanya Azam Baki.

Bagaimanapun, Azam menegaskan pihaknya tidak boleh berkongsi lanjut mengenai perkembangan kes itu memandangkan siasatan masih dijalankan.

“Kes masih dalam siasatan, justeru, saya tidak boleh dedahkan sebarang perkembangan,” katanya pada sidang media Ops Power di Ibu Pejabat SPRM, di Putrajaya hari ini.

“Individu yang akan dipanggil akan bergantung kepada saksi yagn kita panggil sebelum ini.”

Pada November MalaysiaNow melaporkan SPRM menyerbu pejabat Vinod sebagai sebahagian permulaan siasatan salah satu kes pengubahan wang terbesar sejak siasatan skandal 1MDB tiga tahun lalu.

MalaysiaNow difahamkan pegawai-pegawai dari Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), SPRM, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melakukan serbuan ke atas premis Petra Group.

Petra Group adalah syarikat yang mengendalikan rangkaian beberapa syarikat dan organisasi, diketuai oleh Vinod yang merupakan seorang ahli perniagaan yang juga penyokong kuat kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Pemilik Petra Group Vinod Sekhar bersama Anwar Ibrahim. Gambar: Facebook

Sumber rapat dengan siasatan tersebut memberitahu MalaysiaNow serbuan itu dijalankan susulan siasatan selama beberapa bulan berhubung dakwaan pengubahan wang dan pengelakan cukai melibatkan ratusan juta ringgit.

Sumber turut berkata pegawai penyiasat merampas “beberapa dokumen dan barangan” sebagai sebahagian daripada siasatan tersebut.

Pada Jun, MalaysiaNow melaporkan Vinod melalui GR Technologies, sebuah syarikat dengan alamat di Bangsar memperoleh bahagian terbesar kontrak bernilai bilion dolar bagi membekalkan ventilator atau alat bantuan pernafasan kepada kerajaan Hungary.

Hungary yang membeli ventilator daripada pelbagai pembekal mencetuskan kekecohan tahun lalu ketika pandemik Covid-19 memuncak di Eropah selepas ahli politik pembangkang menyelar dan mengecam pemberian kontrak kerajaan itu, menyifatkannya sebagai tidak telus selain turut menyebabkan lebihan bekalan alatan tersebut.

Mereka juga berkata ventilator yang dibeli oleh Hungary adalah terlalu mahal, mempersoalkan mengapa pembelian itu dibuat melalui kementerian luar negara.

Vinod mengesahkan menerima kontrak itu namun menegaskan “semuanya mengikut landasan yang betul”, sambil menambah beliau menerima “peratusan biasa” dalam bentuk komisen.

Dokumen yang diperoleh MalaysiaNow dari Hungary menunjukkan Budapest bersetuju untuk membayar kepada Vinod sejumlah AS$559,600,000 melalui beberapa akaun bank, yang pada masa kontrak diberikan pada Mei 2020 bernilai hampir RM2.43 bilion.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi