- Iklan -
Berita

Pengundi Simpang Renggam anggap ura-ura Maszlee calon MB sebagai jenaka

Pengundi bertanya apa yang beliau sumbangkan sejak memenangi Simpang Renggam pada PRU14.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang penunggang motorsikal melintasi papan tanda 'I love Simpang Renggam'. Johor bakal menjalani PRN 12 Mac depan.
Seorang penunggang motorsikal melintasi papan tanda 'I love Simpang Renggam'. Johor bakal menjalani PRN 12 Mac depan.

Ura-ura calon PKR Maszlee Malik bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang bakal dinamakan sebagai calon menteri besar sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini dianggap sebagai jenaka oleh pengundi Simpang Renggam.

Mereka berkata, sepanjang berkhidmat sebagai ahli Parlimen Simpang Renggam dan menteri pendidikan semasa PH menjadi kerajaan, tiada apa yang dilakukannya selain membawa masuk restoran makanan segera ke kawasan tersebut.

Seorang pengundi mahu dikenali sebagai Firdaus ketawa selepas mendengar khabar angin tersebut.

“Apa yang dia buat selama beberapa tahun ni?

“Buat McDonalds hanya satu-satunya sumbangan dia,” katanya ketika ditemui MalaysiaNow merujuk kepada restoran makanan segera asal Amerika Syarikat (AS) itu.

Firdaus (kanan) berbual bersama temannya Alif sambil menunggu pelanggan di gerai buah-buahan di Simpang Renggam.

Maszlee merupakan menteri pendidikan semasa zaman PH yang meletakkan jawatan lebih kurang sebulan sebelum Langkah Sheraton yang menyaksikan gabungan itu tumbang selepas Dr Mahathir Mohamad mengosongkan kerusi perdana menteri.

Kerusi DUN Layang-Layang menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon, PKR yang diwakili Maszlee, K Alagathiran (Perikatan Nasional), Abdul Mutalib Abd Rahim (Barisan Nasional) dan Ahmad Syafiq Othaman (Pejuang).

Pada PRU14 lalu kerusi tersebut dimenangi oleh calon BN, Onn Hafiz Ghazi yang kini bertanding di kerusi DUN Machap.

Pada Oktober 2020, Maszlee berkata beliau bersyukur dapat membawa restoran makanan segera itu ke Simpang Renggam yang diharap dapat memberikan peluang pekerjaan untuk warga tempatan.

Maszlee hanya bernasib baik

Firdaus mempersoalkan janji Maszlee semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang masih belum ditunaikannya.

“Tu, tol Simpang Renggam pun ada lagi,” tambah Firdaus merujuk kepada janji Maszlee untuk menghapuskan kutipan tol kawasan itu sekiranya PH berjaya ke Putrajaya.

Malah Maszlee turut menyeru para pengundi untuk menuntut janji tersebut jika beliau tidak menunaikannya.

Bagaimanapun, selepas dilantik sebagai menteri pendidikan Maszlee diasak hebat oleh pengguna di media sosial yang mengatakan janji itu sebagai satu pembohongan dan beliau tidak menepati janji.

Pengundi Simpang Renggam Firdaus ketika ditemu bual MalaysiaNow mengenai PRN Johor.

Disebabkan itu, tiga hantaran Facebooknya berkaitan penghapusan tol dipercayai sudah dipadam.

Pada Oktober 2020, MalaysiaNow mendedahkan Maszlee merupakan satu-satunya bekas ahli Parlimen Bersatu yang menandatangani akaun bersumpah (SD) untuk menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Kira-kira tiga bulan sebelum PRN Johor diumumkan, Maszlee menyertai PKR.

Tambah Firdaus, Maszlee hanya bernasib baik pada PRU14 kerana gelombang menjatuhkan BN sangat kuat sehingga negeri Johor ditawan oleh PH.

“Nama dia naik jadi calon MB tu sebab dah tahu memang tak boleh menang la tu.

Cuba bandingkan apa yang dia buat dengan Abah dah buat di Johor?,” soalnya sambil merujuk kepada gelaran yang diberikan kepada bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) merupakan anak jati Johor dan bekas menteri besar dari 1986 hingga 1995.

Sementara Maszlee sebelum ini aktif dalam bidang pendidikan dan akademik serta pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau menyertai parti komponen PH ketika itu, Bersatu sebulan sebelum PRU14 dan dinamakan sebagai calon Parlimen Simpang Renggam dan mengalahkan penyandang kerusi dari BN, Liang Teck Meng.

Sementara itu, rakan baik Firdaus, mahu dikenali sebagai Alif turut menunjukkan reaksi terkejut terhadap ura-ura Maszlee bakal dinamakan sebagai calon menteri besar.

Dia seakan tidak percaya nama Maszlee dicalonkan untuk jawatan tersebut.

Sukarelawan menunjukkan isyarat ‘bagus’ dari dalam van berhias gambar Maszlee Malik, calon PKR di DUN Layang-Layang pada PRN Johor. Gambar: Facebook

Alif yang menjual buah-buahan di laluan utama Simpang Renggam berkata sehingga kini masih tidak jelas apakah fungsi Maszlee sebagai ahli Parlimen Simpang Renggam melainkan hanya bergambar di Facebook setiap kali pulang ke kawasannya.

“Betul, dia ada atau tidak. Sama sahaja. Rasanya macam tak ada beza. Tak boleh lawan Abah lah kalau jadi MB. Dia tak kenal orang Johor ni.

“Orang Johor ni dia tak tunjuk. Orang politik balik kawasan, kita baik. Tapi, masa mengundi nanti tengok lah apa jadi,” katanya disusuli ketawa kecil.

50 meter daripada kedai Alif, seorang pemilik kedai makan dikenali sebagai Reza berkata dia berpuas hati dengan keramahan Maszlee sebagai wakil rakyat.

Kehadiran Maszlee ke gerai-gerai dan taman perumahan patut dipuji.

Namun katanya, itu belum mencukupi untuk dicalonkan sebagai seorang menteri besar Johor.

“Tapi kalau jadi MB belum boleh lagi, dia memang orang pandai mengajar universiti tapi tak boleh lawan Abah.

“Kena cari yang lagi berpengalaman,” katanya kepada MalaysiaNow.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.