Kementerian pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan beberapa ketetapan baru bagi penyelesaian isu beg pelajar berat yang antara lain membuat ketetapan untuk menyediakan kemudahan lokar di sekolah rendah secara berfasa bermula tahun ini.
Dalam sebuah kenyataan, KPM berkata, penyediaan kemudahan itu akan membabitkan sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi.
Menurutnya, fasa satu akan melibatkan penyediaan lokar untuk murid Tahap Satu, iaitu Tahun Satu, Tahun Dua dan Tahun Tiga melibatkan 10,662 kelas dengan murid berjumlah 323,186 orang.
“Jumlah anggaran peruntukan tahun 2022 untuk fasa satu adalah sebanyak RM37.3 juta.
“Bagi fasa dua pula, penyediaan lokar akan diperluaskan kepada murid Tahap Dua, iaitu Tahun Empat, Tahun
Lima dan Tahun Enam di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi. pelaksanaan dijangka pada tahun 2023.
“Bagi sekolah satu sesi pula, murid akan menyimpan buku di dalam laci meja di bilik darjah masing-masing,” katanya.
Selain itu, KPM turut menetapkan supaya jadual waktu mata pelajaran disusun semula mengikut kaedah dan pelaksanaan yang sesuai mengikut subjek, ketersediaan guru dan sesi persekolahan.
KPM turut menetapkan supaya bilangan buku latihan pelajar tidak melebihi dua buah buku bagi setiap mata pelajaran.
“Setiap buku latihan hendaklah tidak melebihi 80 muka surat,” katanya sambil menambah hanya buku aktiviti yang disediakan KPM sahaja boleh digunakan sementara buku kerja hanya boleh digunakan sebagai rujukan dan ulang kaji di luar waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Beberapa langkah lain berhubung penyelesaian isu itu termasuk penyediaan buku teks digital bagi kegunaan pelajar yang mempunyai peranti dan kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) berhubung kelonggaran mengenai uniform diselaraskan antara sekolah rendah kebangsaan dan sesi Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) kelolaan jabatan itu.
Menurut KPM, pelaksanaan ketetapan baru ini juga akan dipantau itu melalui satu pasukan petugas.
“KPM akan memantau rapi pelaksanaan semua pendekatan yang ditetapkan oleh KPM.
“Pemantauan ini akan dilaksanakan oleh sebuah pasukan petugas yang akan melaporkan secara berkala pelaksanaan inisiatif untuk mengurangkan beban beg berat murid.”