- Iklan -
Berita

Undi Felda di Johor bukan lagi deposit tetap bagi BN?

Walaupun peneroka Felda secara tradisinya menyokong Barisan Nasional, namun bagi PRN Johor, sokongan itu mungkin berubah.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Jalan masuk ke Felda Ayer Hitam di Machap, Johor. Kelihatan bendera parti politik dipacakkan sempena kempen PRN Johor yang akan diadakan pada 12 Mac.
Jalan masuk ke Felda Ayer Hitam di Machap, Johor. Kelihatan bendera parti politik dipacakkan sempena kempen PRN Johor yang akan diadakan pada 12 Mac.

Dari jalan utama, laluan memasuki Kampung Felda Ayer Hitam di Machap, Johor agak sempit.

Meskipun sudah berturap tar, ada lagi beberapa jalan di kawasan itu yang masih bertanah merah.

Di kiri dan kanan jalan, pengunjung boleh menikmati suasana kampung dengan ladang menghijau, sesekali terdapat gerai makan yang diusahakan penduduk.

Suasana aman pada hari itu bertukar meriah apabila deretan kereta tidak henti-henti memasuki kampung tersebut, sambil diperhatikan penduduk.

Kampung itu menerima kunjungan negarawan Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi Pejuang.

Beberapa keluarga berdiri di depan pintu rumah untuk melihat konvoi yang lalu-lalang.

Meskipun julung kali bertanding, Pejuang yang mempertaruhkan jenama Mahathir berjaya mengumpulkan orang kampung yang berminat untuk mendengar ceramahnya.

Kawasan Felda sebelum ini terkenal sebagai deposit kekal Barisan Nasional (BN) namun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, fakta itu mungkin tidak lagi terpakai.

Bekas ketua kampung Felda Ayer Hitam, Mohd Rashid Taha berkata, isu yang menjadi tumpuan penduduk di situ ialah masalah infrastruktur.

“Pertama sekali jalan yang menyambung rumah generasi baru, dan generasi kedua terpaksa menggunakan paip yang terlalu panjang. Tiada ban air untuk mereka,” katanya kepada MalaysiaNow.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap dimenangi oleh Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) walaupun parlimennya, Ayer Hitam kekal milik BN yang diwakili Wee Ka Siong.

Namun beberapa penduduk Felda Ayer Hitam menjangkakan persaingan sengit antara Pejuang dan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Rashid, sentimen penduduk terbahagi antara BN, PN dan Pejuang.

Seorang penduduk di kampung itu berkata, meskipun BN mempunyai kekuatan ampuh di kawasan pedalaman, sikap angkuh sebilangan orang yang dilantik parti itu menyebabkan penduduk tidak berasa selesa dengan BN.

Di Felda Tenggaroh 2, ketua peneroka Anuar Abd Ghani berkata, sentimen BN masih tebal dalam kalangan peneroka yang berusia 60 tahun ke atas.

“Mesej BN dibawa oleh kaum wanita di sini, manakala lelaki mungkin lebih cenderung kepada PN.

“Strategi Muhyiddin yang membawa agenda PN berhubung penyelesaian hutang peneroka juga mampu memenangi sebilangan hati pengundi di sini,” katanya merujuk kepada masalah hutang lapuk yang diwarisi peneroka sejak sekian lama.

Kerajaan semasa pentadbiran Muhyiddin bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat pada tahun lepas.

DUN Tenggaroh dimenangi oleh K Raven daripada BN dengan majoriti 5,765.

PRN Johor menyaksikan pertembungan empat penjuru antara BN, PN, Pejuang dan PKR.

Menurut Anuar, Pejuang mungkin tidak berpeluang di kawasan itu berikutan calon yang tidak dikenali oleh pengundi.

Di Johor, sebanyak 20 DUN mempunyai kawasan Felda yang menjadi rebutan apabila nama-nama besar parti politik tidak ketinggalan untuk melawat dan berkunjung ke kampung-kampung Felda.

Mengulas mengenai hayunan undi Felda kali ini, katanya terdapat perbezaan sentimen dan isu pada PRN kali ini berbanding dengan pada PRU14 lepas.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Mara,  Ismail Sualman bagaimanapun berkata isu hutang Felda tidak mempunyai impak yang besar memandangkan usaha itu belum dicapai sepenuhnya.

“Ini menyebabkan ramai tak berpuas hati dengan apa yang dijanjikan pengurusan Felda kepada peneroka-peneroka.” katanya yang juga anak jati Johor.

Menurut Ismail, pengundi Felda akan turut mengambil kira faktor kerajaan pusat, yang mana mereka akan cenderung untuk menyokong BN sebagai kerajaan negeri.

Namun ia bukan jaminan yang memboleh memberikan keselesaan kepada BN untuk kawasan-kawasan Felda.

“Di sesetengah tempat Felda akan ada yang sokong Bersatu. Pada kali ini, tidak ada dominasi oleh satu parti.

“Masih ada ruang dan peluang untuk mana-mana parti jika mampu memberikan impak pada saat-saat akhir,” katanya.

Mengenai keupayaan Pakatan Harapan (PH) dan PKR, katanya peluang blok pembangkang itu agak sukar di kerusi Felda dan Johor secara umum.

Ini kerana pengundi masih mengingati janji-janji yang tidak ditunaikan pada PRU14 lepas.

“Di Felda dalam kawasan DUN Layang-Layang yang ditandingi PKR contohnya, hayunan undi dijangka memihak kepada BN.”

Bagi Rashid, dia tidak cenderung kepada mana-mana parti namun berharap agar kesejahteraan dan kemakmuran kampungnya menjadi keutamaan calon yang bakal mengisi jawatan tersebut pada 12 Mac ini.