- Iklan -
Berita

Hutang 1MDB dijamin kerajaan, Muhyiddin ingatkan Najib

Menurut Muhyiddin apabila 1MDB gagal bayar hutangnya, kerajaanlah yang akan mengambil alih hutang tersebut.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.
Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin Yassin hari ini terus mempersoalkan dakwaan Najib Razak di Dewan Rakyat minggu lalu wang rakyat tidak digunakan untuk membayar hutang 1MDB, mempersoalkan bagaimana bekas perdana menteri yang juga menteri kewangan itu boleh terlupa hutang tersebut dijamin kerajaan.

“Apabila 1MDB gagal membayar hutang-hutang termasuk faedah yang keseluruhannya berjumlah lebih RM50 billion, maka kerajaanlah yang terpaksa membayar hutang-hutang ini. Maknanya, ini duit rakyatlah,” katanya ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Muhyiddin, kerajaan sudah membayar hutang 1MDB berjumlah RM13.3 bilion setakat ini seperti yang telah diumumkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz pada Februari lalu.

Muhyiddin turut mengandaikan kenyataan Najib kononnya tiada wang rakyat digunakan untuk membayar hutang 1MDB mungkin bermaksud kerajaan perlu menggunakan wang dan aset yang berjaya diperolehi semula bagi membayar hutang syarikat itu.

Baru-baru ini, Najib mendakwa dana awam tidak digunakan untuk membayar hutang 1MDB kerana pelbagai entiti, termasuk Goldman Sachs, firma audit KPMG dan Deloitte, Ambank dan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat sudah memulangkan dana 1MDB, berjumlah RM23 bilion kepada Malaysia.

“Sepatutnya wang ini boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB. Hakikatnya, satu sen pun prinsipal hutang 1MDB tidak pernah dibayar (guna wang rakyat).

“Pada 2018 hutang 1MDB berjumlah RM32 bilion. Pada 2019 hutang RM32 bilion. Pada 2020 hutang RM32 bilion. Pada 2021 hutang RM32 bilion,” katanya.

Bagaimanapun, Zafrul berkata dakwaan Najib tersebut adalah tidak berasas dan menjelaskan kerajaan sudah mula membayar faedah hutang 1MDB kira-kira RM6.5 bilion dan belum membayar prinsipal kerana ia masih lambat untuk matang.

Dalam perbahasannya hari ini, Muhyiddin turut menyenaraikan beberapa aset berkait 1MDB yang diperolehi semula oleh kerajaan termasuk sebuah kapal layar mewah bernilai AS$130 juta, jet peribadi bombardier bernilai AS$35 juta, dan aset-aset mewah milik Riza Aziz yang merupakan anak tiri kepada Najib iaitu sebuah rumah di London bernilai 23.2 juta pound, sebuah rumah di Berverly Hills bernilai AS$17.5 juta dan sebuah kondominium bernilai AS$35.5 juta di New York.

“Kesemua aset-aset ini tentunya dibeli bukan untuk tujuan pelaburan yang menguntungkan 1MDB.

“Tetapi sebaliknya dikeroyok oleh orang-orang yang rapat dengan Pekan (Najib) menggunakan sebahagian wang berjumlah 4.5 bilion dolar AS yang dicuri dari 1MDB,” katanya.

Namun, Muhyiddin berkata penyelewengan 1MDB itu akhirnya dapat disiasat selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang menyaksikan pentadbiran Najib tumbang.

Katanya, kerajaan baru kemudiannya menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk merampas semula wang dan aset 1MDB yang dicuri.

Muhyiddin turut berkata semasa menjadi perdana menteri, beliau mengarahkan pasukan khas tersebut untuk menjejak dan mendapatkan kembali wang dan aset 1MDB yang disorok di negara-negara asing.

“Saya difahamkan setakat ini lebih RM20 billion wang dan aset 1MDB telah dirampas semula oleh kerajaan dan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Asset yang akan digunakan untuk membayar sebahagian hutang 1MDB.

“Bayangkan jika Pekan masih perdana menteri. Saya tidak fikir dia akan tubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk mencari wang dan aset 1MDB yang hilang kerana yang menghilangkan wang dan aset itu pun dia.

“Jadi benarlah Pekan ini seorang yang cerdik – cerdik berbohong,” katanya.

Najib dijatuhkan hukuman selama 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah bagi tujuh pertuduhan salah guna dana SRC International, sebuah entiti yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Hukuman tersebut turut dikekalkan di Mahkamah Rayuan tahun lalu di mana hakim mengatakan jenayah dilakukannya mendatangkan malu kepada negara.

Muhyiddin turut menambah kerosakan akan melanda negara jika integriti tidak dijadikan pegangan pemimpin yang mentadbir kerajaan.

“Apa lagi yang kesnya terkenal seantero dunia sebagai ‘skandal terbesar abad ini’ yang melibatkan rantaian penyangak kewangan global atau ‘the plundering idiots’ yang mencetuskan ‘a national embarrassment’.”