- Iklan -
Berita

Laluan darat Malaysia-Singapura dibuka serentak dengan pembukaan sempadan

Langkah itu diambil bagi membolehkan rakyat Singapura melancong ke negara ini sekali gus merancakkan kembali sektor pelancongan negara.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Jalan keluar masuk antara Singapura dan Johor. Ramai rakyat Malaysia di Johor bekerja di republik itu. Gambar: AFP.
Jalan keluar masuk antara Singapura dan Johor. Ramai rakyat Malaysia di Johor bekerja di republik itu. Gambar: AFP.

Laluan darat Malaysia ke Singapura melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua akan dibuka serentak dengan tarikh pembukaan sempadan negara, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri.

Nancy berkata ia membolehkan rakyat dari republik berkenaan melancong ke negara ini sekali gus merancakkan kembali sektor pelancongan negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, beliau berkata pengumuman mengenai perkara itu akan dilakukan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.

“Kementerian pelancongan, seni dan budaya bersiap sedia dan sentiasa bersedia (menerima pelancong dari luar negara). Semua kita akan buka sekali,” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama penggiat industri di Johor Bahru hari ini.

Laluan sempadan darat sangat sinonim dengan Johor dan Singapura kerana pelancong dari republik itu lebih memilih melalui jalan darat kerana sudah terbiasa selain jarak yang dekat dan mudah.

Sabtu lepas, perdana menteri dilaporkan mengesahkan bahawa sempadan negara akan dibuka semula tidak lama lagi dan langkah ini membolehkan ahli Keluarga Malaysia yang sudah lama tidak bersua muka dapat pulang terutama ketika Aidilfitri pada Mei nanti.

Sebelum ini, pelaksanaan Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) darat melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua dibuka serentak dengan VTL udara antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 29 November tahun lepas.

Perjalanan darat antara Singapura dan Johor Bahru hanya merangkumi pemegang pas jangka panjang bagi mereka yang bekerja di Singapura dan Johor Bahru.

Mengulas mengenai perjumpaan hari ini, Nancy berkata program berkenaan merupakan inisiatif kementerian dalam mendekatkan diri dengan penggiat industri pelancongan, seni dan budaya di Johor.

Pada majlis tersebut, beliau turut melancarkan Kempen Jom Balik Kampung Homestay Malaysia anjuran Tourism Malaysia, selaras dengan pelancaran portal jomhomestay.com yang telah disempurnakan pada 27 November tahun lepas.

Katanya kempen itu bertujuan memperluaskan promosi dalam kalangan rakyat Malaysia untuk memilih inap desa sebagai destinasi pelancongan serta penginapan alternatif selain hotel.

Kempen itu juga katanya dapat membantu pengusaha inap desa termasuk golongan belia dalam menghasilkan pakej-pakej menarik serta mengetengahkan produk-produk tempatan sekali gus meningkatkan pendapatan para pengusaha inap desa yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.