Ketika parti politik daripada pelbagai gabungan sedang bersaing mengumpulkan sokongan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hujung minggu ini, namun istana negeri sebagai sebuah institusi di negeri itu masih kuat pengaruhnya bagi sebilangan pengundi.
Di Kampung Melayu Majidee, seorang penduduk mahu dikenali sebagai Arin, 47, berkata kebajikan yang diberikan oleh pihak Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sejak sekian lama benar-benar dapat dirasai oleh rakyat.
Katanya bantuan ini termasuklah makanan dan wang ringgit.
“Tak perlu tunggu ada banjir kalau makanan nak sampai. Nak dekat puasa, ada sahaja orang-orang datang bertanya di sini kalau perlukan beras dan minyak masak. Bila kita tanya, mereka kata dari istana,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Kalau nak dapat kurma dari wakil rakyat, saya pun tak ingat bila kali terakhir nampak wakil rakyat datang bagi kurma.”
Arin dan ibunya merupakan anak tempatan dan ahli keluarganya tidak pernah berhijrah ke negeri lain kerana merasa selesa tinggal di Johor.
Di Taman Desa Tebrau, Nabila Mustafa pula merasakan pihak istana lebih prihatin di kawasannya berbanding wakil rakyat.
Kata wanita berusia 29 tahun itu, beliau menyedari hakikat bahawa Sultan Ibrahim sememangnya tegas dalam memantau kebajikan rakyatnya.
Atas sebab itu, katanya, kerajaan negeri mampu menjalankan tanggungjawab dengan pantas dan berkesan.
“Dari zaman sekolah, saya dah dibantu dengan wang ehsan pelajar cemerlang dan bantuan zakat. Berbanding rakan-rakan di negeri lain, saya tak pernah ada masalah birokrasi. Sebab yakin, Sultan Johor sangat tegas dalam urusan pentadbiran,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Ketika belajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pelajar ni tak pernah susah. Terutama sekali bab makan. Masuk sahaja bukan puasa, macam-macam program yang dilakukan oleh permaisuri untuk berbuka puasa. Sumbangan makanan dan kuih raya. Sangat meriah.”
Sehingga kini, katanya, walaupun sudah bekerja di sebuah syarikat swasta, dia masih mendapat bantuan istana apabila berjaya membeli sebuah rumah di bawah program Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) yang berada di bawah naungan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).
“Rumah saya hanya berharga sekitar RM80 ribu dan dijangka siap pada tahun depan. Saya sudah dihubungi ejen rumah dan dimaklumkan akan mendapat wang sumbangan RM3,000 daripada YSIJ sebelum masuk ke rumah.
“Apa lagi yang boleh saya nak kata? Istana betul-betul jaga kami di Johor.”
Peranan istana dalam mencorakkan undi
Johor berbeza dengan negeri-negeri lain di Malaysia kerana pengaruh istana sangat kuat sehingga dianggap berupaya mempengaruhi corak politik negeri itu.
Mana-mana individu politik yang dilihat “mesra” dengan istana berdepan peluang cerah untuk mendapat sokongan rakyat negeri Johor.
Pada musim PRN Johor, beberapa ahli politik dilihat mendampingi istana selepas tular beberapa foto pemimpin parti bersama Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Antaranya, bekas perdana menteri Najib Razak dari Umno dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Manakala, hanya Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) dilihat mengadap Sultan Ibrahim di istana.
Meskipun naratif kelahiran parti keramat Melayu, Umno bermula di Johor sangat kuat, parti itu tetap kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ketika gelombang menjatuhkan Najib berlaku hampir di seluruh negara sehingga Johor ditawan Pakatan Harapan.
Di masjid Kolam Ayer, seorang jemaah ketika ditemui berkata fungsi dan bantuan dari istana tidak pernah dihebahkan tidak seperti wakil rakyat yang sering mengungkit kerja mereka sendiri setiap kali nak mengundi.
“Di kawasan JB ni, terutama sekali hari Jumaat. Lepas sembahyang, pergilah isi minyak motor. Kadang-kadang percuma sebab dah ada orang bayarkan.
“Bila tanya, ‘orang TMJ’ yang datang bayar. Tak ada pun nak bising-bising. Tapi siapa yang selalu dapat, kenal la macam mana istana bantu rakyat dia,” katanya yang mahu dikenali sebagai Hanif merujuk kepada Tunku Mahkota Johor.
Lain pula pandangan Yusnin Yahya, seorang penduduk yang aktif dalam gerakan politik tempatan sejak usia muda berkata, tidak dinafikan istana Johor tegas dalam memantau polisi pentadbiran negeri bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara.
Bagaimanapun, beliau berkata pengundi perlu rasional dan mengambil logik mengikut keadaan. Hal ini katanya, pentadbiran negeri bergantung kepada kerajaan pusat.
Atas sebab itu, kehadiran wakil rakyat sangat diperlukan untuk menyampaikan hasrat-hasrat rakyat dapat ditunaikan.
“Jadi, saya tak setuju kalau mereka kata tak perlukan orang politik.
“Secara peribadi, kami di Johor sangat suka campur tangan istana sebab sultan tak suka ahli politik main wayang. Tuanku cukup tegas dan pantau. Sangat menjaga rakyat,” katanya kepada MalaysiaNow.
Katanya, sultan sangat berperanan membawa suara rakyat-rakyatnya. Atas sebab itu, tuanku sering kali dilihat mencemar duli menemui rakyat untuk bertanya khabar dan memantau kawasan-kawasan kampung.
“Malahan di pejabat Setiausaha Kerjasama Negeri Johor (SUKJ), sultan memantau dengan aktif.
“Tuanku adalah mata-mata rakyat kepada ahli-ahli exco Johor. Dalam mesyuarat exco, mereka kena laksanakan dasar-dasar pentadbiran negeri yang sultan pantau rapat.
“Bukan exco pula, kena turun tengok rakyat sebab sultan selalu ingatkan, itu satu amanah.”