- Iklan -
Berita

Malaysia isytihar peralihan ke fasa endemik menjelang pembukaan sempadan pada April

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dokumen sah boleh memasuki atau keluar sempadan negara tanpa perlu lagi memohon MyTravel Pass yang akan dimansuhkan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Beberapa kenderaan melalui di persimpangan lampu isyarat di Bukit Bintang. Malaysia bakal beralih ke fasa endemik bermula 1 April.
Beberapa kenderaan melalui di persimpangan lampu isyarat di Bukit Bintang. Malaysia bakal beralih ke fasa endemik bermula 1 April.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan peralihan pandemik ke fasa endemik di seluruh negara dengan pembukaan semula sempadan kepada pelawat antarabangsa berkuat kuasa 1 April.

Dalam sidang media khas secara langsung hari ini, beliau berkata fasa “peralihan ke endemic” ini merupakan strategi jalan keluar bagi membolehkan orang ramai kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal selepas hampir dua tahun pandemik Covid-19.

“Justeru, selari dengan perancangan memasuki fasa berkenaan pada 1 April 2022, kerajaan telah memutuskan supaya sempadan negara turut dibuka semula pada 1 April ini,” katanya menyifatkan ia adalah langkah yang paling dinantikan orang ramai.

Menurut Ismail, rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah kini boleh keluar masuk negara seperti biasa serta dibenarkan untuk pergi ke mana-mana negara yang turut membuka pintu sempadannya kepada pengembara luar.

“Dalam masa yang sama, rakyat negara luar dengan dokumen perjalanan yang sah juga boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan.

“Sebaliknya, hanya perlu muat turun dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan Borang Pra-Perlepasan melalui fungsi ‘Traveller’ dalam MySejahtera.”

Selain itu, katanya pengembara tempatan dan luar negara yang telah menerima vaksin lengkap tidak lagi perlu menjalani kuarantin dan hanya perlu melalui ujian pengesanan Covid RT-PCR dua hari sebelum berlepas sementara ujian RTK-antigen perlu dilakukan sehari sebelumnya.

Prosedur bagi individu yang tidak menerima vaksin atas sebab perubatan pula akan diumumkan menteri kesihatan esok.

Dalam pada itu, prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka masih diwajibkan bagi setiap individu dan kelonggaran diberikan kepada premis perniagaan untuk beroperasi mengikut syarat lesen operasi premis.

“Ini bermakna anda semua bolehlah makan di kedai makan selepas jam 12 tengah malam, terutamanya dengan bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi.

“Bolehlah bersahur di luar,” katanya.

SOP pendaftaran masuk MySejahter juga masih diwajibkan dan henya dikecualikan untuk kawasan terbuka dan tidak sesak dan MYSJTrace diwajibkan bagi tempat tertutup yang dipenuhi pengunjung.

Ismail turut berkata aktiviti solat jemaah di masjid, surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.

Bagaimanapun, pelaksanaan dan SOP akhir untuk rumah ibadah Islam adalah tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri dan untuk rumah ibadat selain Islam tertakluk kepada kementerian perpaduan di bawah unit hal ehwal agama-agama lain (Unifor).

“Sebelum ini, terdapat had kapasiti 50% untuk aktiviti yang melibatkan perkumpulan ramai. Dengan pengumuman peralihan ke endemik, had tersebut akan dimansuhkan secara menyeluruh.

“Tiada lagi had kapasiti 50%. Namun, penjarakan fizikal sangat penting dan masih digalakkan.

Perbincangan mengenai peralihan negara ke fasa endemik Covid-19 telah sejak tahun lalu, di mana sasaran asal peralihan itu ditetapkan pada Oktober 2021.

Bagaimanapun, sasaran peralihan ke fasa itu tidak dapat dijalankan berikutan lonjakan mendadak kes yang berpunca daripada varian Omicron.

Pada November, kerajaan berkata langkah berhati-hati perlu diteruskan bagi berdepan gelombang Omicron yang melanda dunia ketika itu.

Putrajaya sebelum ini menetapkan tujuh kriteria yang perlu dipenuhi sebelum kementerian kesihatan boleh mengisytiharkan Malaysia memasuki fasa endemik di mana warga perlu menyesuaikan diri untuk hidup dengan keberadaan virus Covid-19.

Ia termasuk bilangan katil pesakit Covid yang digunakan di hospital dan pusat kuarantin dan rawatan pesakit berisiko rendah (PKRC); kapasiti makmal ujian; dan kadar kes positif.