- Iklan -
Berita

Apakah BN silap percaturan letak Puad Zarkashi di DUN Rengit?

Ramai pengundi mempersoalkan pencalonan ahli Majlis Tertinggi Umno itu di DUN tersebut, yang dipilih mengggantikan penyandangnya Ayub Jamil.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Papan tanda kempen calon Barisan Nasional di DUN Rengit Mohd Puad Zarkashi.
Papan tanda kempen calon Barisan Nasional di DUN Rengit Mohd Puad Zarkashi.

Keputusan Barisan Nasional (BN) meletakkan Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dikritik hebat pengundi kerusi tersebut.

Puad adalah antara yang menyokong kluster mahkamah diketuai Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Puad juga antara pemimpin Umno yang seringkali mengkritik Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin ketika menjadi perdana menteri dengan menggunakan Facebook.

Di media sosial, rata-rata pengguna maya meluahkan rasa tidak puas hati dengan menyifatkan calon BN itu sebagai tidak sedar diri dan menumpang populariti orang lain untuk meraih undi.

Nada yang sama diluahkan penyokong-penyokong BN yang tidak berpuas hati dengan tindakan Umno mengenepikan Ayub Jamil yang merupakan penyandang kerusi itu selama empat penggal.

Semakan di Facebook dan Twitter mendapati pengundi kawasan berkenaan mahukan calon yang lebih muda dan mempunyai rekod bersih sebagai calon.

Tidak kurang juga, ada yang melabelkan Puad sebagai “lalang” dan calon kitar semula.

Seorang ahli perniagaan dan pengundi Rengit, Ismail ketika ditemu bual MalaysiaNow.

Ini menyebabkan Umno tersekat untuk membawa masuk wajah-wajah baru di setiap pilihan raya.

Selain itu, Puad yang juga ketua Umno Bahagian Batu Pahat itu dilihat mengenepikan Ayub yang sebelum ini exco perumahan dan kerajaan tempatan Johor.

Di sebuah warung berdekatan pekan Rengit, beberapa pelanggan menyuarakan pendapat yang sama.

Seorang ahli perniagaan mahu dikenali sebagai Ismail berkata, situasi tersebut sebagai pelik.

“Macam mana dia boleh terfikir nak bertanding? Berapa kali dah kalah?

“Kita fahamlah, ni kawasan dia sebab di ketua bahagian. Tapi kita tahu dia mungkin kalah,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, majoriti pengundi di Rengit terdiri daripada kaum Melayu dan rata-ratanya mempersoalkan kemunculan Puad sejak hari penamaan calon.

Menurut Ismail, meskipun secara luaran, penduduk tidak menunjukkan rasa marah tetapi ia boleh dicerminkan pada hari mengundi.

“Sini ramai Melayu. Kalau mereka rasa tak boleh undi calon BN. Mereka akan pergi bagi sokongan pada PAS yang kini di bawah bendera Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Puad kali terakhir bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) mempertahankan kerusi Parlimen Batu Pahat, namun tewas kepada calon PKR, Mohd Idris Jusi, dengan majoriti 1,524.

Beliau bagaimanapun tidak dicalonkan di kerusi sama pada PRU14 dan digantikan Ketua Wanita Umno Bahagian Batu Pahat Haliza Abdullah.

Puad kali terakhir bergelar wakil rakyat selepas menang pada PRU12 di kerusi Parlimen Batu Pahat menewaskan calon PAS, Muhammad Abdullah dengan majoriti 12,968 undi.

Sementa itu, seorang pembantu di kedai tayar kenderaan mahu dikenali sebagai Tien Wee berkata, dia mendengar cakap-cakap pelanggan yang lebih tua turut tidak berpuas hati dengan pencalonan Puad.

“Pakcik-pakcik itu tanya apa Puad boleh buat selepas lama hanya duduk di kerusi,” katanya merujuk kepada berehat daripada menjadi wakil rakyat.

“Awak tengok, poster dia pun nampak macam dia syok duduk atas kerusi. Belum menang dah syok,” katanya kepada MalaysiaNow.

Puad berdepan dengan saingan empat penjuru di kerusi DUN Rengit.

Calon yang bertanding di DUN Rengit ialah Mohd Huzair Lajis yang mewakili PN dan Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir daripada Pejuang.

Manakala seorang calon lagi dari PKR, Khairuddin A Rahim yang memenangi kerusi DUN Senggarang pada PRU14.

Seorang penduduk setempat yang mahu dikenali sebagai Afiqah berkata, dia yang tidak memahami selok belok politik juga berasa hairan dengan kemunculan Puad.

Katanya, ketika DUN Rengit dijaga oleh Ayub, perpaduan kaum dan suasana yang harmoni dapat dirasai dengan begitu mendalam.

Termasuk juga pembangunan ekonomi yang membangun dengan baik walaupun tidak pantas tetapi proses kemajuan ekonomi ketika itu berlaku dengan ketara.

“Ayah saya orang kuat BN di kawasan ini. Jika arwah masih ada, habis semua orang BN kena marah dengan dia.

“Macam mana boleh calonkan Puad?

“Dia boleh berfungsi di Facebook macam selalu. Marah sahaja sesiapa yang dia tak suka. Tak perlu (kembali) bertanding.

“Buat semak sahaja,” kata wanita berusia 33 tahun itu sebelum berangkat pulang.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.