- Iklan -
Berita

Leissner akui bimbang siasatan ke atas 1MDB dijalankan jika pembangkang menang PRU13

Menurut bekas pegawai bank Goldman itu, siasatan terhadap 1MDB pada 2016 telah menyebabkan dirinya bimbang jika ditangkap.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas rakan kongsi Goldman Sachs Tim Leissner dan isterinya Kimora Lee Simmons dalam sebuah acara di Beverly Hills, California, pada 12 Januari 2014. Gambar: AFP
Bekas rakan kongsi Goldman Sachs Tim Leissner dan isterinya Kimora Lee Simmons dalam sebuah acara di Beverly Hills, California, pada 12 Januari 2014. Gambar: AFP

Bekas rakan kongsi Goldman Sachs Tim Leissner mengaku menerima sogokan AS$60 juta, menipu bank mengenai transaksi rasuahnya, dan dua kali memalsukan dokumen perceraian untuk mengahwini wanita lain.

Leissner adalah saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan Roger Ng, bekas rakan sekerjanya di Goldman yang didakwa membantu dalam penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2009 hingga 2014.

Pada 2018, Leissner mengaku bersalah bersubahat dalam pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang anti rasuah.

Beliau juga bersetuju untuk bekerjasama dengan pendakwa raya dalam perbicaraan mengenai kes melibatkan syarikat itu.

Ng, 49, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang sama dan kini sedang dibicarakan di mahkamah persekutuan Brooklyn.

Sepanjang seminggu memberi keterangan di mahkamah, Leissner menyifatkan gaya hidupnya yang  mewah selepas urus niaga melibatkan 1MDB telah menjadikannya sebagai seorang “bintang” di bank itu.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan kepada mahkamah langkah-langkah yang diambilnya bagi mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa atas jenayah yang dilakukannya.

Leissner turut berkata dia berharap dapat menebus kesalahan yang dilakukannya.

“Ia bukanlah masa yang membanggakan dalam hidup saya, pada masa itu saya mahu dapatkan lebih banyak wang, walaupun saya sudah dibayar dengan baik,” kata Leissner.

Pertuduhan terhadap Ng dijalankan selepas siasatan dilakukan terhadap kira-kira AS$6.5 bilion bon 1MDB yang dijual oleh Goldman pada 2012 dan 2013.

Pendakwa raya berkata AS$4.5 bilion daripada jumlah jualan itu telah diselewengkan oleh pegawai kerajaan, pegawai bank dan rakan subahat mereka dalam salah satu skandal terbesar dalam sejarah Wall Street.

Pada 2020, Goldman bersetuju membayar denda AS$3 bilion dan cawangannya di Malaysia turut mengaku bersalah di mahkamah AS.

Bank pelaburan antarabangsa itu berkata pada masa penyelewengan berlaku ia tidak “meneliti dengan cermat pasukan pegawainya dalam rundingan urus niaga yang dijalankan.”

Leissner berkata Ng yang merupakan pegawai Goldman di Malaysia, secara rahsia menjalin hubungan dengan dalang penyelewengan dana itu di luar Goldman, dan menerima sogokan.

Bagaimanapun, peguam Ng, Marc Agnifilo mengatakan Leissner berbohong dalam mengaitkan anak guamnya dengan jenayah itu bagi mengurangkan sabitan hukuman.

Namun, pihak pendakwaan berkata dakwaan Leissner disokong oleh bukti lain.

Leissner berkata beliau membelanjakan wang sogokan itu membeli kapal layar bernilai AS$15 juta, pangsapuri di London dan New York, dan membuat pelaburan dalam pasukan bola sepak Itali, Inter Milan.

Pada 2013 dia bertemu Kimora Lee Simmons, seorang model AS dan bekas isteri penerbit muzik Russell Simmons.

Mereka berdua menetapkan tarikh perkahwinan sebelum Leissner memuktamadkan perceraiannya dengan seorang lagi wanita.

Bagi membolehkan perkahwinan itu dijalankan, Leissner memalsukan dokumen perceraiannya – kali kedua dia melakukan tindakan sedemikian.

Leissner berkata, akibat perbuatannya, beliau bimbang dirinya akan ditangkap.

Semasa menyiapkan rundingan urus niaga bon 1MDB terakhir beberapa bulan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada 2013, Leissner berkata beliau bimbang pembangkang memenanginya dan akan menyiasat perkara itu.

Walaupun Barisan Nasional (BN) menang dalam PRU itu, Leissner berkata liputan akhbar yang kritikal mengenai 1MDB telah menyebabkan dirinya terus bimbang jika ditangkap.

Pada Februari 2016, ejen FBI telah menghantar perintah sepina kepadanya.
Berharap dapat memperolehi permit untuk tinggal di Los Angeles bersama keluarga barunya, Leissner berkata dia mengupah seorang peguam untuk memulakan kerjasama dengan kerajaan.

Leissner bagaimanapun telah ditangkap pada Jun 2018.

Menurutnya, pengakuan bersalah yang dilakukannya adalah untuk meringankan hukuman dan sedar peluangnya untuk tinggal di AS tidak dapat dilakukan.

Kini, peguamnya berkata Leissner dan Lee Simmons tinggal berjauhan.

“Saya harap saya tidak perlu pergi menjalani hukuman penjara,” kata Leissner.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.