- Iklan -
Berita

Mengapa Muda tidak bertanding dalam Parlimen Muar pada PRN Johor?

Beberapa pengundi berkata mereka kecewa dengan prestasinya sebagai ahli Parlimen walaupun sanggup memberinya peluang kedua.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Bendera Muda dan Perikatan Nasional berkibar ketika kempen PRN Johor pada Mac tahun lepas. Gambar: Bernama
Bendera Muda dan Perikatan Nasional berkibar ketika kempen PRN Johor pada Mac tahun lepas. Gambar: Bernama

Selama 20 tahun, Pak Misnan turun ke laut mencari rezeki sebagai nelayan.

Wajahnya tidak asing lagi di jeti Muar berhampiran stesen bas pekan itu.

Pendapatannya berbeza mengikut musim dan jenis tangkapan.

Dia antara lebih 100 nelayan berdaftar di Muar.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, dia dan rakan-rakan nelayan meletakkan kepercayaan kepada seorang anak muda yang pertama kali bertanding pilihan raya.

Syed Saddiq Abdul Rahman diangkat menjadi ahli Parlimen Muar dengan majoriti 6,953 menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Razali Ibrahim, dan calon Pas Abdul Aziz Talib, sebelum dilantik menjadi menteri Kabinet termuda dalam sejarah Malaysia.

“Mula-mula pandai cakap, pandai tujuk muka,” katanya ketika ditemui MalaysiaNow.

“Tapi lepas itu, apa pun tak dapat.”

Misnan (kanan) berehat bersama seorang rakan di kawasan jeti di tepi Sungai Muar. Jeti itu mempunyai kira-kira 100 nelayan berdaftar.

Menurut lelaki berusia 48 tahun itu, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, ramai nelayan sudah lali dengan janji-janji kosong ahli-ahli politik.

Ramai yang tidak lagi ambil pusing mengenai calon-calon yang bertanding di sekitar Muar.

Katanya, tiada satu pun calon yang datang menemui mereka sepanjang tempoh kempen.

“Macam tempat kami ni dia (Syed Saddiq) tak ambil peduli.

“Sekarang ini kami tak kisah siapa pun perintah,” katanya.

Syed Saddiq digugurkan keahlian daripada Bersatu selepas Langkah Sheraton sebelum menubuhkan Muda.

Muda bertanding tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, antaranya Puteri Wangsa, Tenang, Bukit Kepong, Bukit Permai, Parit Raja, Machap dan Larkin.

Parti itu bertembung dengan PKR di kerusi DUN Larkin.

Muda tidak bertanding di dua kerusi DUN di bawah Parlimen Muar, iaitu Maharani dan Sungai Balang.

Menurut kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Muda, mereka akan bertanding di kerusi yang dahulu ditandingi Bersatu.

DUN Maharani dan Sungai Balang masing-masing dimenangi oleh PKR dan Barisan Nasional (BN).

Meskipun Muda sanggup bertembung dengan PKR di Larkin, parti itu bagaimanapun tidak meletakkan calon di DUN kawasan Muar, sekali gus mencetus persoalan mengenai penerimaan terhadap Syed Saddiq setelah hampir sepenggal menjadi ahli Parlimen.

Seorang lagi nelayan, Abd Rahman berkata, nasib lebih malang menimpanya apabila elaunnya sebagai bekas tentera dipotong daripada RM1,000 kepada RM750 semasa pentadbiran PH.

“Bantuan sebagai nelayan pun kena potong. Nasib baik sekarang dapat balik,” katanya.

Sementara itu, pengusaha kereta sewa Muar, Ismail Shaari, 49, berkata, persatuan pengusaha kereta sewa turut menyokong Syed Saddiq ketika PRU14 memandangkan sentimen negatif pemandu kereta sewa dan teksi terhadap kereta e-hailing seperti Grab ketika itu sedang memuncak.

Bagaimanapun mereka kecewa apabila kerajaan PH mengutamakan perkhidmatan e-hailing selepas mentadbir kerajaan pusat.

“Syed Saddiq dulu pernah datang sebelum PRU-14. Kita memang sokong.

“Bila menang, batang hidup pun tak nampak. Kalau dia kempen, kami akan kata jangan datang kempen,” katanya.

Pengusaha kereta sewa Ismail (kiri) di hentian kereta sewa Muar. Kira-kira 20 pengusaha kini bergelut dengan kehadiran pesaing e-hailing seperti Grab, dan bas yang membawa penumpang ke lapangan terbang.

Seperti golongan nelayan, Ismail mendakwa setakat ini tiada wakil mana-mana calon yang datang melawat mereka semasa tempoh kempen.

Namun ia tidak bermakna bekas menteri belia dan sukan itu ditolak secara total.

Kata Ismail, sekiranya Syed Saddiq datang dan meminta maaf atau mengakui kesilapannya sepanjang berkhidmat, secara peribadi dia tidak kisah memberi ahli Parlimen itu peluang kedua.

“Kita tak kisah mana-mana kerajaan yang memerintah, tapi kerajaan perintahlah dengan ikhlas dan tengok keperluan rakyat.

“Bila dah menang, diam sahaja,” katanya.

Bagi warga emas yang dikenali sebagai Mohd Shah, 70, unjuran rakyat harus dilakukan mengikut jangka masa panjang yang mana Syed Saddiq mampu menyerlah jika diberi peluang.

“Dia memang ada kesilapan, tapi orang-orang lain pun ada lakukan kesilapan juga. Syed Saddiq lebih baik daripada Najib atau Zahid yang ada skandal,” katanya merujuk kepada kes mahkamah yang dihadapi kedua-dua pemimpin Umno itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.