Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad untuk mendapatkan sementara pasport bagi membolehkan beliau menghadiri majlis konvokesyen anak tirinya di sebuah universiti di United Kingdom (UK) 30 Mac ini.
Panel tiga hakim diketuai Kamaludin Md Said berkata pasport itu yang akan diserahkan kepada Isa selaku pemohon pada 14 Mac perlu dikembalikan kepada mahkamah pada 16 April ini.
Hakim Kamaludin yang bersidang bersama Lee Heng Cheong dan Ghazali Cha membenarkan permohonan Isa selepas mendengar hujahan peguamnya, Wan Azmir Wan Majid.
Timbalan pendakwa raya Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah permohonan tersebut.
Terdahulu, Wan Azmir dalam hujahan berkata anak guamnya perlu berangkat ke UK pada 26 Mac ini untuk menghadiri majlis konvokesyen anak tirinya dan akan pulang ke Malaysia pada 9 April ini.
“Saya mohon pasport diserahkan kepada pemohon secepat mungkin kerana ia perlu diperbaharui. Anak guam akan pulang ke Malaysia pada 9 April dan saya mohon pasport dikembalikan selewat-lewatnya 16 April,” katanya dan menambah bahawa pemohon telah menjaga anak tirinya itu sejak kecil.
Pada 3 Februari tahun lepas, Isa, 72, disabitkan atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.
Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapinya menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun setelah hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini merupakan hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.
Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga rayuan selesai.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya pada 4 Februari 2021.
Rayuan berkenaan ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron menerusi sidang video pada 11 Mei ini.