Pakar-pakar ekonomi menyelar cadangan pemimpin-pemimpin Umno dan Pakatan Harapan (PH) yang mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), memberi amaran langkah itu hanya akan menyebabkan pencarum berdepan masalah jangka panjang selain menambah jurang kekayan.
Desakan yang dimulakan bekas perdana menteri Najib Razak baru-baru ini kini turut disuarakan pemimpin pembangkang termasuk Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Bagaimanapun, penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS) Ahmed Razman Abdul Latiff memberi peringatan, mengatakan walaupun kadar dividen KWSP meningkat daripada tahun sebelumnya, ia mungkin tidak cukup untuk meringankan keperluan pencarum.
“Dianggarkan 5.8 juta pencarum di bawah usia 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.
“Jika pengeluaran dibenarkan, mereka akhirnya akan kehabiskan simpanan,” katanya.
Inisiatif i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra telah diperkenalkan sejak dua tahun lalu dalam pelbagai pakej bantuan yang diumumkan Putrajaya bagi menangani impak Covid-19.
Pada November tahun lalu, Najib berkata jumlah maksimum pengeluaran i-Citra harus dinaikkan dari RM5,000 kepada RM10,000.
Desakan demikian diulanginya beberapa kali, dan pada 2 Mac lalu, bagi kali keempat Najib sekali lagi mendesak kerajaan di Dewan Rakyat untuk membenarkan pengeluaran simpanan KWSP di bawah inisiatif i-Citra.
“Siapa hendak claim kredit (mendapat nama) tak kisahlah.
“Asalkan permintaan pengeluaran kali terakhir ini, yang sangat diharapkan oleh rakyat dapat dipenuhi kerajaan dengan segera,” katanya.
Sementara itu, pada 9 Mac, Anwar berkata beliau telah mengubah pandangannya mengenai perkara itu selepas mendengar rungutan orang-ramai.
“Setelah kita melihat bahawa kerajaan seolah tidak ada jalan untuk merungkai kegagalan ini, saya kini mendukung agar pengeluaran dibenarkan sesegera mungkin dan tanpa ada apa-apa halangan dan kerenah birokrasi.
Dalam pada itu, Lim pula berkata pengeluaran sebanyak sekurang-kurangnya RM5,000 harus dibenarkan ekoran peningkatan kos sara hidup namun pendapatan orang ramai tidak meningkat.
Bagaimanapun, pakar ekonomi Madeline Berma berpendapat kerajaan wajar menghentikan pengeluaran wang simpanan KWSP, memberikan amaran kesan jangka panjang yang boleh dihadapi pencarum.
“KWSP adalah simpanan untuk selepas bersara.
“Dana persaraan penting untuk mengelakkan lebih ramai pencarum jatuh miskin selepas bersara,” katanya ketika dihubungi MalaysiaNow.
Razman turut bersetuju, mengakui bahawa langkah perlu diambil bagi menangani perkara itu dan jurang jangka pendek akibat krisis ekonomi, namun mengingatkan bahawa kelemahan dalam sistem perlindungan sosial negara itu juga mesti diatasi.
Beliau juga berkata sebarang bantuan harus datang daripada kerajaan sendiri.
“Cadangan keluar duit KWSP ibarat menangguk di air keruh kerana mencadangkan sesuatu yang nampak megah tetapi mereka (ahli politik) tidak meletakkan tanggungjawab pengurusan kepada pencarum,” katanya kepada MalaysiaNow.
Beliau turut menambah pelbagai mekanisme sudah dibuat bagi membantu mereka yang memerlukan dan berkata lebih baik bagi pencarum menyimpan simpanan mereka dalam KWSP dan mendapatkan bantuan dalam bentuk lain daripada kerajaan.
Pada Disember lalu, KWSP sendiri turut berkata jumlah simpanan pencarum kini menyusut selepas beberapa pengeluaran dibenarkan berikutan krisis Covid-19.
Badan itu juga berkata walaupun caruman boleh dikeluarkan sepanjang sekatan pergerakan bagi membendung wabak, namun ia tidak boleh dilaksanakan kerana terikat dengan undang-undang yang memberikan panduan bagaimana caruman pencarum diuruskan.
KWSP turut mendedahkan inisiatif tersebut telah menyebabkan sejumlah RM101 bilion caruman dikeluarkan melibatkan 6.1 juta pencarum di mana ia juga menyebabkan mereka kini hanya memiliki simpanan kurang dari RM10,000 manakala 3.6 juta lagi pencarum kini memiliki simpanan kurang dari RM1,000.
Agensi itu juga berkata majoriti pencarum yang mengeluarkan simpanan adalah daripada kalangan Bumiputera.
“Hasil daripada pengeluaran itu, sebanyak 4.4 juta atau 54% ahli Bumiputera kini mempunyai kurang dari RM10,000, dan 2.0 juta atau 25% mempunyai kurang dari RM1,000.”
Sementara itu, penganalisis ekonomi dari Universiti Sunway, Yeah Kim Leng berkata pengeluaran tambahan wang KWSP akan mengurangkan lagi simpanan untuk persaraan, justeru meningkatkan lagi risiko pencarum untuk bersara dalam keadaan miskin.
Katanya, pilihan yang lebih baik untuk kerajaan adalah memberi bantuan secara bersasar seperti menawarkan peluang pekerjaan, kelulusan lesen berniaga dan program subsidi pinjaman wang.
“Kini ekonomi semakin pulih, maka fokus yang sewajarnya ialah meningkatkan semula tabung kecemasan dan simpanan berbanding menggunakannya,” katanya kepada MalaysiaNow.
Dalam pada itu, Madeline mendesak kerajaan untuk menyediakan lebih banyak bantuan kepada mangsa banjir atau bencana alam tanpa menggunakan simpanan KWSP.
“Antaranya bantuan yang boleh dipertimbangkan termasuk bantuan perumahan seperti dana membaiki rumah, penyediaan rumah, bantuan kewangan untuk baiki atau menggantikan harta benda yang rosak seperti kenderaan dan peralatan rumah.
“Selain itu, bantuan yang boleh disalurkan juga adalah seperti bantuan kesihatan, urusan kematian, penjagaan kanak-kanak atau orang tua serta bantuan pengangkutan,” tambahnya.