- Iklan -
Berita

Stesen bas tumpuan pengunjung di Batu Pahat kini bertukar tempat ‘zombie’

Stesen bas itu pernah menerima ribuan pengembara dan pengunjung tempatan setiap hari, namun kini ia lengang dan kosong.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Suasana Stesen Bas Awam Batu Pahat yang sepi tanpa kehadiran orang ramai.
Suasana Stesen Bas Awam Batu Pahat yang sepi tanpa kehadiran orang ramai.

Di tengah-tengah kesesakan bandar Batu Pahat, terdapat sebuah bangunan agam yang tidak ubah seperti tempat peninggalan “zombie”.

Sunyi, sepi dan gelap gelita. Suara angin juga hampir tidak didengari ketika berada di dalamnya.

Stesen Bas Awam Batu Pahat di Jalan Rugayah yang pernah menjadi tempat tumpuan penduduk tempatan yang menggunakan perkhidmatan bas awam dan komersial untuk ke destinasi masing-masing ke seluruh semenanjung.

Kemeriahan stesen bas ini tersohor sehinggakan fungsinya bukan sahaja sebagai tempat hentian pengembara, tetapi menjadi pusat membeli belah dan bersosial untuk masyarakat setempat.

Terdapat kedai pakaian, pembekal tudung dan baju tradisional, kedai alat tulis dan barangan sekolah dan alat muzik.

Kedai kosong dan tidak disewa di Stesen Bas Awam Batu Pahat.

Bukan itu sahaja, kompleks tiga tingkat ini juga menjadi tempat persinggahan para pelajar selepas waktu sekolah.

Keberadaan pusat-pusat tuisyen di bangunan bersebelahan menjadi faktor utama kehadiran pelajar.

Di samping itu, pusat permainan di tingkat paling atas menjadi lokasi mereka melepaskan tekanan selepas kelas tambahan.

Tetapi apa yang berlaku kini?

Tinjauan MalaysiaNow mendapati setiap pintu masuk stesen bas bukan sahaja lengang tetapi kosong.

Tiada seorang pengunjung kelihatan kecuali dua orang penjaga kaunter tiket bas berada di dalamnya.

Di tingkat dua dan tiga, tidak lagi kelihatan serinya, dibiarkan sepi seakan-akan “rumah hantu” di taman-taman tema.

Kewujudan tangga bergerak di tengah-tengah kompleks itu juga sudah tiada.

Sebuah lubang penuh sampah juga turut ditemui dalam bangunan yang kini tidak lagi menggunakan sistem eskalator.

Yang tinggal, hanya lubang sebesar saiz kereta sebagai tapak tangga.

Meskipun terdapat tangga dan lif untuk akses ke tingkat atas tetapi dilihat tidak selamat.

Pengunjung berkemungkinan terperangkap di dalam lif atau terjatuh di tangga kerana gelap.

Ketika ditanya, apa yang sebenarnya berlaku kepada kompleks itu, seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Saiful berkata, proses membaik pulih sedang dijalankan.

“Tapi, dah masuk tahun keempat. Masih tiada apa-apa perubahan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Penyewa lot-lot kedai semua sudah tinggalkan kompleks ini kerana tiada pengunjung, sewa pula mahal.

“Kompleks ini pernah menjadi imej Batu Pahat di mana suasananya meriah dan ekonominya berjalan dengan baik,” katanya yang sudah menjalankan perniagaan agrobazaar dan barangan kosmetik di situ sejak 38 tahun lalu.

Beliau mengakui sedih melihat nasib yang membelenggu Stesen Bas Awam Batu Pahat kini yang menjadi bangunan “mati jiwa” disebabkan proses baik pulih yang amat perlahan.

MalaysiaNow difahamkan, projek baik pulih kompleks stesen bas awam itu bermula sejak empat tahun lalu, di bawah seliaan kontraktor yang rapat dengan Umno bernilai hampir RM24 juta dan dijangka siap dalam tempoh setahun hingga dua tahun.

Pengusaha kedai Saiful menunggu pelanggan di kedainya dalam Stesen Bas Awam Batu Pahat.

Kadar bayaran sewa bagi lot-lot kedai di situ mencecah RM4,000 sebulan.

Batu Pahat tidak mempunyai jaringan kereta api dan lapangan terbang dan penduduk setempat memilih bas sebagai pengangkutan utama untuk keluar dari daerah itu.

Jadi, tidak menghairankan kompleks itu menjadi tumpuan beribu orang sehari untuk naik dan turun bas ke destinasi masing-masing.

“Sekarang tengok, pekerja pun tak ada nampak. Berapa lama lagi nak tunggu?,” kataya.

Isteri Saiful yang lebih mesra dengan panggilan Kak Min pula mempersoalkan peranan dan tanggungjawab pemimpin kawasan itu.

“Kenalah fikir (nasib) para peniaga di sini. Stesen bas ini imej Batu Pahat. Bila jadi macam ni, bagaimana peniaga nak cari makan?” soalnya.

Keadaan uzur walaupun selepas baik pulih

Seorang peniaga di kedai membaiki telefon bimbit dikenali sebagai Ati ketika ditemui berkata, kompleks itu sebenarnya tidaklah kosong.

“Mana ada kosong, cicak dan lipas pun ada,” katanya secara berseloroh kepada MalaysiaNow.

Dia turut menyuarakan rasa bimbang terhadap isu keselamatan bangunan itu yang mempunyai banyak kerosakan meskipun sudah siap dibaik pulih.

Siling berlubang dan bocor, dinding serta lantai kedai dipenuhi kulat air.

Sebahagian dinding bangunan mulai reput dan terhakis.

Sampah-sampah juga kelihatan di sudut-sudut bangunan.

Malah, dalam keadaan itu kadar bayaran sewa masih tinggi dan dia tidak pernah berputus asa untuk meminta pemotongan harga.

Keadaan siling yang berlubang di Stesen Bas Awam Batu Pahat Johor.

Jelasnya lagi, suasana kompleks itu sungguh berbeza.

Selepas lebih 18 tahun menjalankan perniagaan di situ, dia berkongsi pengalamannya terpaksa menyelit di belakang badan pengunjung-pengunjung untuk berjalan ke kedainya kerana sesak.

“Sekarang, tiada siapa. Pekerja pun tak mari. Bila tanya, cakap setahun. Lepas setahun, satu tahun lagi.

“Projek macam ni, kalau betul-betul buat, setahun lebih sikit saja sudah selesai.”

Di seberang jalan, suasana yang sungguh berbeza dapat dirasai. Lot-lot kedai dipenuhi dengan barang jualan dan pembeli.

Manakala, 100 meter di sebelahnya, sebuah bangunan kosong tidak berpenghuni.

Menurut Ati lagi, kebanyakkan rakan-rakannya yang pernah menjalankan perniagaan di situ bertindak pindah masuk ke pusat-pusat membeli belah demi kelangsungan hidup.

Di tepi-tepi kompleks itu terdapat beberapa kaunter menjual tiket bas.

Bagaimanapun, kebanyakannya sudah tidak beroperasi.

Hanya beberapa kaunter tiket dibuka untuk jualan.

Difahamkan, ramai pengusaha bas di kompleks itu gulung tikar akibat krisis ekonomi sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.

MalaysiaNow sedang mendapatkan ulasan Majis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) dan pihak kontraktor projek untuk maklumat lanjut mengenai permasalahan ini.