- Iklan -
Berita

Undi 18, kuasa penentu atau sekadar ‘hype’?

Ketika parti politik bersaing untuk meraih sokongan kumpulan pengundi baru pada PRN Johor, golongan muda menyuarakan pandangan mereka tentang situasi politik negara.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Penunggang motorsikal melalui kibaran bendera parti politik yang bertanding pada PRN Johor 12 Mac lalu.
Penunggang motorsikal melalui kibaran bendera parti politik yang bertanding pada PRN Johor 12 Mac lalu.

Tiga tahun lalu, Malaysia melakar sejarah apabila rang undang-undang menurunkan had umur mengundi,dan bertanding pilihan raya dari 21 kepada 18 diluluskan secara sebulat suara.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang turut termasuk pendaftaran pengundi secara automatik itu berkuatkuasa pada 15 Disember lepas.

Ini bermakna pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini, faktor pengundi muda akan diambil kira buat pertama kali apabila 700,000 pengundi muda bakal mengundi buat kali pertama.

Dalam edisi PRN sebelum ini di Melaka dan Sarawak, Undi 18 tidak memainkan peranan.

Parti-parti politik sudah pun berlumba-lumba untuk memikat hati pengundi baru.

Muda yang baru diluluskan dilihat paling ke depan dalam mengambil hati mereka, walaupun sebelum ini MalaysiaNow melaporkan golongan ini belum tentu memberi undi kepada mereka.

Retorik anak muda bukan perkara baru.

Meskipun ramai yang bersetuju politik Malaysia sudah lama didominasi muka-muka lama, golongan belia masih tidak berjaya menukar landskap usang politik negara.

Pola pengundian mereka juga akan dijadikan bahan kajian oleh semua parti politik bagi sebagai persediaan ke arah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Syazliana Hisham, pelajar tingkatan 6 Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Perak di Muar sememangnya tidak akan melepaskan peluang untuk melaksanakan haknya sebagai pengundi.

Meskipun pertama kali mengundi, dia sudah lama mengikuti perkembangan politik tanah air.

“Ya, saya ada kecenderungan dengan parti politik tertentu kerana saya lihat ada parti yang sangat komited memperjuangkan isu rakyat terutama isu anak muda,” kata pelajar tingkatan 6 itu kepada MalaysiaNow.

Namun sentimen dan semangat itu tidak dikongsi oleh semua orang muda.

Seorang nelayan berusia 28 tahun, Muhammad Razi yang berpengkalan di Muar ketika ditemui berkata, dia tidak pernah keluar mengundi sebelum ini kerana tidak pernah mendaftar.

“Mengenai politik ini semua saya memang tak ambil tahu.

“Sebab apa, mereka mula-mula sahaja beriya, lepas itu? Hilang,” katanya.

Dia yang mula bekerja sejak tingkatan tiga itu mempunyai “reservation” ketika ditanya mengenai parti Muda yang diasaskan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman.

Syazliana berkata, walaupun Muda satu inisiatif yang boleh disambut baik, parti itu ironinya terlalu muda untuk diberikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Kita bercakap untuk mentadbir negeri, bukan mengenai sekolah atau universiti.

“Jika Muda bertanding di universiti mungkin saya akan mengundinya,” jelasnya.

Pada PRN kali ini, calon termuda yang dipertandingkan ialah Kelly Chye Pei Yee daripada Barisan Nasional (BN) yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol dan Muhammad Airel Zabridin daripada Pejuang yang bertanding di Tangkak.

Kedua-dua mereka berusia 26 tahun.

Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) juga mempertaruhkan Farzana Haryani yang berusia 21 tahun di DUN Sungai Rambai semasa PRN Melaka.

Tidak lengkap bercakap mengenai orang muda tanpa membabitkan isu-isu yang sering dikaitkan dengan golongan itu antaranya kuasa media sosial.

Syazliana berkata, walaupun dia mengikuti perkembangan ahli politik menerusi media sosial, pendiriannya teguh dan tidak mudah dipengaruhi sesiapa termasuk keluarganya sendiri.

Bagi Razi pula, realiti di lapangan apabila dia pulang dari laut lebih jelas berbanding riuh-rendah di media sosial yang mungkin tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Begitu juga sudut pandang belia yang tidak boleh dipukul rata.

Walaupun golongan belia dikaitkan dengan perubahan, idea liberal dan nafas baru, tidak semua tertarik dengan retorika sedemikian.

Nur Nabila Yuzaini yang berusia 24 dan menetap di Pasir Gudang berkata meskipun tidak tahu secara mendalam mengenai politik semasa, dia tetap cakna dengan dasar-dasar pentadbiran blok politik.

“Isu yang paling terkesan pada saya ialah semasa Covid-19 mula-mula dikesan di negara kita, Ketika itu PH yang mentadbir negara tidak serius dalam menangani virus itu yang menyebabkan saya sedikit terkilan,” katanya yang kehilangan bapa akibat daripada wabak tersebut.

Nabila yang kini sedang menuntut di Universiti Teknologi Mara juga tidak meletakkan usia sebagai kayu ukur utama.

“Saya lebih melihat potensi dan kemampuan.

“Jika seorang calon itu diyakini mampu memegang amanah walaupun tidak muda, apa salahnya? Yang lebih berusia juga lebih berpengalaman dan banyak ilmu,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.