- Iklan -
Berita

Pengundi tetap keluar mengundi di Muar walaupun risau Covid-19

Ramai pengundi DUN Maharani di Muar yakin vaksinasi dos penggalak yang diambil mereka dapat menghadapi risiko jangkitan Covid.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Pengundi DUN Maharani beratur di pusat pengundian SMK Sri Muar bagi membuang undi pada PRN Johor hari ini.
Pengundi DUN Maharani beratur di pusat pengundian SMK Sri Muar bagi membuang undi pada PRN Johor hari ini.

Pengundi di pekan Muar kelihatan keluar mengundi seawal pagi meskipun Covid-19 tetap menjadi kerisauan mereka.

Beberapa pengundi sanggup tiba seawal 7.30 pagi untuk menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini.

Salah seorangnya ialah pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, Tan Wee Ann.

Katanya, mengundi bukan satu kerja sukar dan tidak mengambil masa lama jika habis awal.

“Sekadar masukkkan (kertas undi) dalam kotak sahaja,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Muar hari ini.

Tan yang berusia 50 tahun jtu bekerja sebagai tukang masak.

Mengenai kebarangkalian dijangkiti Covid-19, katanya dia tidak berasa takut kerana sudah lengkap dua dos vaksin dan dos penggalak.

Seorang lagi pengundi, J Prema berkata, dia datang dari Johor Bahru dan menetap semalaman untuk mengundi di DUN Maharani.

“Saya datang dengan suami, manakala anak kami mengundi di Johor Bahru.

“Kami datang awal kerana hendak pulang ke Johor Bahru segera kerana kami membantu seorang calon di sana,” kata wanita yang berusia 60 tahun itu.

Seperti Tan, Prema meyakini dos penggalak yang diambilnya bagi mendepani sebarang risiko jangkitan.

DUN Maharani yang terletak di bawah Parlimen Muar menyaksikan pertembungan enam penjuru membabitkan calon Perikatan Nasional (PN), Abd Aziz Talib, Nor Hayati Bachok (Pakatan Harapan) Nor Farra Shamsudin (Barisan Nasional), Riad Ahmad (Pejuang), Ahmad Hasni Asmui Md Salleh (Parti Bangsa Malaysia) dan calon bebas,Lim Kin Joo.

Nor Hayati merupakan penyandang dengan 5,674 majoriti, menewaskan calon BN, Ashari Md Sarip dan calon PAS Mohammad Taslim.

Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin dijangka tiba untuk membuang undi di sekolah ini hari ini.