Laungan “bubar Parlimen” bergema di perkarangan bilik gerakan Barisan Nasional (BN) ketika menunggu keputusan rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Laungan itu bertahan selama hampir dua minit dan diulangi setiap kali pengumuman keputusan tidak rasmi beberapa kerusi yang dimenangi gabungan itu.
Laungan tersebut dilihat seakan sebuah desakan yang memberi isyarat supaya kerajaan pusat memberi laluan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.
Sehingga kini, kiraan undi tidak langsung menunjukkan BN menang di banyak kerusi jauh meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Pengundian bermula pada pukul 8 pagi tadi di semua pusat mengundi PRN Johor dan selesai pada pukul 6 petang tadi.
Kadar peratusan jumlah keluar mengundi adalah sebanyak 50% setakat pukul 4 petang tadi.
Pada PRN keempat yang diadakan sepanjang pandemik melanda negara ini, 2,539,606 telah berdaftar dengan dengan SPR dan layak mengundi termasuk golongan muda berusia 18 tahun ke atas.
Januari lalu, MalaysiaNow dimaklumkan satu sumber rapat dengan kem Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa beliau sedang merancang sekurang-kurangnya tiga lagi PRN Johor dengan harapan dapat mengembalikan pengaruh kuat parti itu sebelum PRU15 diadakan.
“Selepas Johor, terdapat usaha gigih untuk mencetuskan PRN di Perak pula,” kata pemimpin Umno itu kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.
Beliau turut berkata rancangan itu juga bakal menyaksikan PRN diadakan di Perlis dan Kedah.
Sumber juga berkata tujuan utama rancangan itu dijalankan bukan sahaja bertujuan untuk menunjukkan “Umno sudah kembali”, bahkan untuk menetapkan momentum bagi mendapatkan kuasa “sepenuhnya” di peringkat persekutuan.
“Selepas banyak negeri dikuasai, barulah mudah bagi Umno untuk kembali menguasai Putrajaya tanpa perlu berkongsi kuasa dengan orang-orang yang menyebabkan kami tersungkur,” kata sumber dalaman Umno Pahang itu.