- Iklan -
Berita

MCA, MIC kembali di bawah telunjuk Abang Besar, kluster mahkamah Umno

Kemenangan kedua-dua parti komponen BN di Johor itu juga bermakna mereka perlu kembali mengikut rentak Umno.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Sukarelawan Barisan Nasional menggantung bendera gabungan itu sempena PRN Johor semalam.
Sukarelawan Barisan Nasional menggantung bendera gabungan itu sempena PRN Johor semalam.

Kemenangan MCA dan MIC pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, masing-masing di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membuktikan kedua-dua parti itu perlu mengikuti rentak “kluster mahkamah” Umno untuk terus “hidup”, kata penganalisis.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, di mana sahaja kemunculan bekas perdana menteri Najib Razak dalam kempen-kempen Barisan Nasional (BN), sudah pasti sambutan yang menggalakkan daripada pengundi bukan Melayu khususnya kaum Cina.

“Walaupun Najib ini ada kes mahkamah malah dah dijatuhkan hukuman pun, tetapi nampak agak popular. Atas pertimbangan apa itu, kita lihat mungkin rakyat sudah lama penat lihat politik dan mahu lihat kestabilan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Dan mereka mahukan kestabilan walaupun pemimpin-pemimpin Umno ini ada masalah intergriti tetapi mereka rasa mungkin tak ada parti yang boleh tunjukkan mereka mampu berikan kestabilan kecuali BN.”

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan kemenangan selesa BN pada PRN Johor malam tadi, empat tahun selepas gabungan itu ditumbangkan oleh Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

PRN Johor juga menyaksikan MCA berjaya memperoleh empat kerusi dari 15 kerusi yang dipertandingkan manakala MIC berjaya mendapat tiga kerusi dari empat kerusi yang dipertandingkan.

Sebelum ini, MCA dan MIC kelihatan gagal menyaingi populariti PH terutamanya di kerusi-kerusi campuran dan majoriti bukan Melayu.

Atas sebab itu Mazlan berkata sudah pasti, kedua-dua parti itu akan mengikut rentak pemimpin kluster mahkamah kerana mereka tidak mempeduli kes-kes mahkamah terpalit kepada pemimpin-pemimpin Umno tersebut.

“Yang penting adalah mereka dapat bertahan dengan adanya kerusi-kerusi yang diwakili oleh MIC dan MCA, mereka dapat memberikan khidmat kepada masyarakat bukan Melayu yang diwakili oleh mereka,” katanya.

Azmil Mohd Tayeb dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, MIC dan MCA tidak akan memainkan peranan kluster mahkamah dalam kebangkitan semula kedua-dua parti itu kerana stigma-stigma yang terkait dengan tuduhan dan kes mahkamah.

“(Sebaliknya,) mereka akan beri lebih tumpuan kepada pembangunan, pendidikan vernakular, peluang pekerjaan dan isu-isu lain yang berkaitan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Umno kembali menjadi ‘abang besar’

Kemenangan dengan majoriti dua pertiga kerusi DUN Johor semalam juga menyaksikan Umno kembali menjadi “abang besar” selain langsung tidak mengiktiraf peranan yang dimainkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Mazlan berkata selain itu, situasi itu boleh dilihat dengan memerhati tahap keyakinan pimpinan Umno yang semakin lantang dan berani meskipun sedang terpalit dengan tuduhan-tuduhan mahkamah, malahan ada yang sudah disabitkan hukuman penjara seperti Najib.

“Sebab itu kita lihat pemimpin-pemimpin seperti Ahmad Zahid Hamidi dan Najib secara terbuka mereka nyatakan perlu diadakan pilihan raya (umum) dalam kadar yang segera.

“Seolah-olah gesaan itu bersifat macam mengasak atau memaksa kepada Ismail untuk diadakan pilihan raya umum,” katanya.

Azmi turut bersetuju dengan kemunculan semula “abang besar” dalam percaturan politik negara.

“BN 2.0 sedang membuat kemunculan semula dengan susunan kuasa sebelum ini,” katanya merujuk kepada strategi yang dimainkan dalam siri-siri PRN sebelum Johor.