Persatuan Pemilik-Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak (Soppoa) hari ini mengecam tindakan jabatan imigresen yang mengadakan serbuan terhadap pekerja asing di beberapa ladang dalam negeri itu selain menyifatkan hasil kutipan kompaun dan deposit daripada majikan yang mengambil bahagian dalam program rekalibrasi kerajaan sebagai “cukai tambahan” yang dikenakan ke atas industri yang terlibat.
Felix Moh Mee Ho dari Soppoa berkata ramai pekerja asing terkandas di negara ini berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada Mac 2020 yang turut menyaksikan penutupan sempadan Malaysia.
Disebabkan operasi perkhidmatan kerajaan turut dihentikan, termasuk jabatan imigresen, beliau berkata ramai pekerja asing yang sudah tamat tempoh permit tidak dapat memperbaharuinya.
“Terdapat ribuan pekerja sah menjadi mangsa keadaan disebabkan mereka tidak dapat memperbaharui permit kerana jabatan imigresen tidak beroperasi,” katanya.
Moh berkata, hal ini menyebabkan peningkatan bilangan pekerja asing tanpa dokumen di mana data setiap pekerja dikumpul pihak berkuasa melalui permohonan majikan yang ingin menyertai program rekalibrasi kerajaan.
“Di sebalik harapan untuk kembali bekerja semula, beribu-ribu pekerja tanpa izin akhirnya dihantar pulang atau ditangkap kerana tidak mempunyai dokumen mencukupi bagi menyokong proses pengesahan mereka,” katanya.
Menurutnya lagi, dengan data yang dikumpulkan, jabatan imigresen dapat menjalankan serbuan dengan tepat dan cekap.
Setakat Januari tahun ini, Moh berkata, jabatan itu dilaporkan berjaya memungut RM100 juta kompaun dan RM200 juta lagi bayaran deposit daripada majikan.
“Jumlah keseluruhan yang dikumpulkan adalah hampir separuh daripada hasil yang diterima kerajaan persekutuan daripada levi keuntungan durian runtuh daripada industri minyak sawit pada tahun yang sama,” katanya.
“Jika dipandang dari sudut perakaunan asas, hasil yang diperolehi melalui pembayaran kompaun dan deposit kepada jabatan imigresen itu, sejumlah RM100 juta dan RM200 juta yang dikumpulkan sebenarnya adalah ‘cukai tambahan’ ke atas industri di samping cukai korporat atau levi biasa yang sudah pun menjadi komitmen mereka.
“Dalam erti kata lain, dengan mengumpulkan pendapatan sedemikian, jabatan itu sebenarnya memperkenalkan beban lanjut kepada komuniti perniagaan dengan peningkatan kos operasi, selain turut menyebabkan kerugian tambahan yang terpaksa ditanggung perniagaan ekoran tenaga kerja yang tidak mencukupi.”
Beliau turut menambah peranan utama jabatan kerajaan ketika ini adalah untuk memudahkan pihak berkepentingan dalam usaha meningkatkan operasi perniagaan sekali gus mata pencarian orang ramai.
Katanya, jabatan itu tidak perlu “menunjukkan kuasa mereka pada saat-saat yang sukar ketika ini”.
“Kebelakangan ini, terdapat tanda-tanda negara kita sedang menuju ke arah pemulihan.
“Walaupun ia adalah berita baik, isu utama yang timbul ialah sama ada ia benar-benar dapat dirasakan oleh orang ramai dan komuniti perniagaan, di mana mereka sangat terkesan sehingga pemulihan yang berlaku mungkin tidak membawa sebarang perubahan bagi kehidupan mereka.”