Ahli Parlimen DAP Ong Kian Ming hari ini menggesa Pakatan Harapan (PH) supaya mengambil langkah yang lebih fleksibel dalam strategi kempennya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) susulan kekalahannya di Johor, mengatakan dua pilihan raya negeri (PRN) termasuk di Melaka tahun lalu mungkin tidak berlaku jika gabungan itu menandatangani persefahaman rentas parti (MoU) dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin bagi mengekalkan pentadbirannya di Putrajaya dalam tempoh masa yang lebih lama.
“Realiti politik selepas PRU14 dan Langkah Sheraton ialah setiap parti dan gabungan mesti terbuka untuk meneroka pilihan dan bentuk (kerjasama) lain,” kata Ong yang merupakan penolong pengarah pendidikan politik DAP.
“Kita mesti mengelak daripada memberikan tindak balas (bagi sesuatu isu) terhadap sentimen populis yang mungkin bertentangan dengan kepentingan pembangkang bagi jangka panjang dan negara secara keseluruhannya.
“Sebagai contoh, jika PH menandatangani beberapa MoU dengan Muhyiddin tahun lepas bagi mengekalkan beliau sebagai perdana menteri sehingga 2023, Umno tidak mungkin dapat mendesak PRN diadakan di Melaka dan Johor. Kita pasti tidak mendapat perdana menteri Umno yang terlalu lemah untuk menentang presiden partinya, Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak.”
Pada PRN Johor 12 Mac lalu, PH memenangi 11 kerusi di mana DAP memperoleh 10 kerusi sementara Amanah memenangi satu kerusi.
Sementara itu, PKR yang bertanding menggunakan logonya sendiri hanya memenangi satu kerusi.
Dalam pada itu, PN memenangi tiga kerusi, dua kerusi dimenangi Bersatu dan satu kerusi diperolehi PAS.
Ini adalah kemenangan kedua BN dalam PRN selepas Melaka di mana ia dilihat sebagai sebahagian daripada usaha bekas perdana menteri Najib yang sudah disabitkan pertuduhan jenayah dan bekas timbalannya Zahid untuk mengukuhkan kedudukan Umno menjelang PRU15.
MalaysiaNow sebelum ini melaporkan kem presiden Umno sedang merancang sekurang-kurangnya tiga lagi PRN Johor dengan harapan dapat mengembalikan pengaruh kuat parti itu sebelum PRU15 diadakan.
Dalam kenyataannya hari ini, Ong berkata PH juga harus menggunakan pendekatan fleksibel dalam rundingan dengan parti lain dari blok pembangkang, memetik pecahan undi pada PRN menyebabkan BN memenangi peratusan besar kerusi di Melaka dan Johor.
“Tidak ada gunanya ‘bergaduhan sesama sendiri’ dalam pilihan raya demi membuktikan siapa parti pembangkang yang paling kuat, namun akhirnya ia hanya menyebabkan BN terus dilihat lebih kuat daripada kekuatan sebenar yang dimilikinya,” katanya sambil mengakui ia adalah satu usaha yang sukar memandangkan wujud rasa tidak percaya dan benci antara parti-parti itu.
Beliau turut menambah strategi PH yang banyak bergantung dengan acara ceramah berskala besar dan platform anti-1MDB, anti-Najib dan anti-GST ketika memenangi PRU14 lalu sudah tidak lagi boleh digunakan bagi membuka peluang “kemenangan mengejut” pada PRU15.
“Ramai pemimpin PH mengkritik kerajaan selepas Langkah Sheraton di bawah Muhyiddin dan Ismail Sabri Yaakob kerana mengulangi dasar yang sama mengenai sekatan pergerakan Covid-19 namun mengharapkan hasil yang berbeza,” kata ahli Parlimen Bangi itu lagi.
“Kita harus bermuhasabah terhadap kritikan kita itu sendiri dan sedar bahawa jika kita gunakan strategi yang sama seperti sebelum ini, kita akan salah kerana mengambil jalan yang sama tetapi mengharapkan hasil pilihan raya yang berbeza.”
Pada Ogos tahun lalu, Ong dan seorang lagi Ahli Parlimen DAP Tony Pua secara terbuka mendesak pemimpin gabungan itu untuk mempertimbangkan tawaran Muhyiddin kepada PH sebelum beliau meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.
Dalam tawarannya, Muhyiddin turut berjanji melaksanakan beberapa pembaharuan yang sudah lama diperjuangkan PH sebagai tukaran sokongan gabungan itu bagi mengelakkan kerajaan PN tumbang ketika negara sedang berdepan pandemik.
Ong dan Pua berkata ia juga dapat mengelakkan kerajaan “kleptokrat” kembali berkuasa, merujuk Najib dan Zahid yang kini berdepan lebih dari 80 pertuduhan jenayah.