- Iklan -
Berita

Sultan Selangor nasihat kerajaan negeri serius tangani banjir

Sultan Sharafuddin berkata kaedah terbaik dikenal pasti segera, termasuk mendapatkan khidmat kepakaran serta teknologi baru dari dalam dan luar negara bagi menangani banjir di negeri itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Suasana banjir di Lembah Klang awal tahun ini. Selangor menjadi negeri paling teruk terjejas melibatkan beberapa kawasan termasuk Hulu Langat dan Shah Alam.
Suasana banjir di Lembah Klang awal tahun ini. Selangor menjadi negeri paling teruk terjejas melibatkan beberapa kawasan termasuk Hulu Langat dan Shah Alam.

Kerajaan negeri dinasihatkan untuk memberi penekanan yang lebih serius terhadap usaha-usaha menangani masalah banjir dan banjir kilat yang semakin kerap berlaku di Selangor.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah kaedah terbaik menangani banjir perlu dikenal pasti segera, termasuk mendapatkan khidmat kepakaran serta teknologi baru dari dalam dan luar negara.

“Sepatutnya sejak berlaku tragedi banjir besar di negeri Selangor pada tahun 1971, kita telah belajar dan memperoleh teladan bagaimana untuk menyediakan pelan tindakan sebelum dan selepas banjir,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Selangor Ke-14 hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, dengan jumlah penduduk yang kini mencecah lebih 6.5 juta orang terutama kawasan-kawasan yang sangat padat penduduknya, kerajaan negeri harus mempunyai perancangan masa hadapan yang lebih efektif supaya rakyat Selangor tidak lagi merana dan terbeban dengan masalah banjir.

“Dalam melaksanakan usaha-usaha ini, beta juga mahu pegawai-pegawai kerajaan negeri, agensi-agensi dan jabatan-jabatan di bawah kerajaan negeri lebih proaktif dalam menyelesaikan masalah-masalah berkaitan bencana banjir,” katanya.

Baginda bertitah usaha-usaha menangani banjir itu termasukah menyediakan pelan jangka pendek dan jangka panjang merangkumi kerja-kerja mendalam dan melebarkan sungai, memastikan sistem perparitan yang baik dan terurus, serta membina kunci air (floodgate) di lokasi-lokasi penting yang mengambil kira kadar taburan hujan dan jadual pasang surut air laut.

Sultan Sharafuddin juga menzahirkan harapan agar setiap projek mengatasi banjir seperti pembinaan ban atau mendalamkan sungai dilakukan dengan sempurna dan bersungguh-sungguh agar ia berkesan dalam tempoh jangka masa panjang bagi mengelakkan bencana banjir yang lebih buruk daripada berlaku.

“Ingin beta tegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan undang-undang merupakan salah satu cara yang paling berkesan untuk memberi pengajaran kepada rakyat supaya tidak melakukan pencemaran dan pencerobohan tanah di tepi-tepi sungai di negeri ini.

“Beta sedih dan dukacita apabila melihat kesan-kesan kerosakan selepas banjir yang terpaksa dihadapi oleh rakyat. Sekiranya semua pihak masih lagi tidak serius dan sambil lewa dalam mendepani bencana banjir ini, bukan sahaja kerajaan akan terus menanggung kerugian, malah rakyat juga akan terbeban.

“Dalam hal ini beta berharap Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mengenepikan perbezaan fahaman politik dan dapat bekerjasama menangani masalah banjir di Lembah Klang supaya rakyat yang terlibat tidak menanggung penderitaan yang teruk dan trauma setiap kali berlaku musim hujan.”