- Iklan -
Berita

Najib sekali lagi gagal kemuka bukti baru bagi rayuan kes SRC

Panel lima hakim berkata permohonan bekas perdana menteri itu tidak memenuhi peruntukan undang-undang.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama

Najib Razak hari ini gagal bagi kali kedua untuk mengemukakan bukti baru dalam proses rayuannya terhadap sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat hari ini berkata mereka secara sebulat suara menolak permohonan bekas perdana menteri itu selepas mendengar hujahan peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah, dan pendakwa raya V Sithambaram.

Hakim lain yang turut menganggotai panel hakim termasuk Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf, Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh.

Dalam keputusannya, Tengku Maimun berkata permohonan untuk mengemukakan keterangan tambahan tidak memenuhi peruntukan undang-undang.

“Kami mendapati Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang betul, tiada sebarang kekhilafan dan tiada sebarang kesalahan yang membolehkan ia dirayu.

“Mahkamah Rayuan mengunakan budi bicaranya dengan betul. Hak perayu (Najib) tidak diprejudiskan dan diberikan haknya untuk didengar.

“Berdasarkan keadaan sedemikian, rayuan ini ditolak,” katanya.