- Iklan -
Berita

Zahid dalam usaha desak PM bubar Parlimen ketika Umno berhimpun selepas PRN Johor

Sekiranya BN muncul sebagai pemenang pada PRU15, beliau berkemungkinan akan dinamakan untuk jawatan perdana menteri sekali lagi.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi BN merangkapp Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika meraikan kejayaan BN pada PRN Johor Sabtu lalu.
Pengerusi BN merangkapp Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika meraikan kejayaan BN pada PRN Johor Sabtu lalu.

Ahmad Zahid Hamidi akan menggunakan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 yang bermula hari ini untuk mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata penganalisis.

Mereka berkata, desakan presiden Umno itu akan menerima momentum daripada perwakilan parti Melayu terbesar itu.

PAU yang diadakan pada 16 hingga 19 Mac ini merupakan edisi tahun lalu yang ditangguhkan.

Parti itu turut menangguhkan pemilihan parti yang dijadualkan mengambil tempat pada November tahun ini.

Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UTM), Mujibu Abd Muis berkata, gesaan itu bakal memberi dilema kepada Ismail.

Sebelum ini, Ismail yang juga naib presiden Umno menyatakan kehendak membubar Parlimen hanyalah desakan kumpulan kecil.

“Ini masalah dengan orang Umno kerana mereka sudah terbiasa bahawa presiden parti ialah perdana menteri. Dalam konteks ini, hierarki parti jadi sandaran maka jawatan perdana menteri itu dikesampingkan.

“Ismail juga dilihat mesra kepada Perikatan Nasional (PN) berbanding Umno yang menurut mereka sepatutnya memimpin,” kata Mujibu kepada MalaysiaNow.

Tuntutan membubarkan Parlimen akan menjadikan Ismail perdana menteri paling singkat dalam sejarah Malaysia.

Sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi PRU15, beliau berkemungkinan besar tidak akan dinamakan sebagai perdana menteri.

Ia disahkan oleh Zahid yang menyatakan “poster boy” BN akan ditentukan kemudian oleh parti.

Zahid sebelum ini menyatakan PRU15 harus disegerakan sebelum atau pada Julai tahun ini.

Sebelum ini, pemerhati menyatakan tujuan Zahid berbuat demikian ialah bagi mengukuhkan kedudukannya sebelum pemilihan Umno pada November.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga sedang berdepan 47 tuduhan rasuah dan jenayah.

Sekiranya PRU15 dan pemilihan Umno dijalankan ketika beliau masih dibicarakan, berkemungkinan Zahid tidak dapat mempertahankan jawatannya.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan juga dalam sidang media pada Isnin memaklumkan tidak menolak kemungkinan usul PRU15 dibahaskan oleh jurucakap dalam PAU.

Seramai 5,571 orang perwakilan akan menghadiri PAU kali ini membabitkan 959 perwakilan menyertai perhimpunan agung pergerakan Wanita, 971 perwakilan pada perhimpunan agung Pemuda dan 961 perwakilan terlibat dalam perhimpunan agung Puteri.

Seramai 2,680 perwakilan akan hadir ke PAU termasuk 61 perwakilan Mahasiswa Nasional.

Menurut Mujibu, Zahid yang juga pengerusi BN mempunyai kuasa untuk menandatangani watikah calon pilihan raya.

Berkemungkinan Zahid tidak akan mencalonkan Ismail di Bera sekiranya usul bubar Parlimen tidak didengari.

“Saya juga tidak nampak usaha dari Umno untuk cadangkan beliau sebagai PM,” katanya.

Tambah Mujibu, tekanan itu juga ialah berikutan kepimpinan Umno kini cenderung untuk tidak bersama dengan mana-mana pakatan, sama ada PN ataupun Muafakat Nasional (MN).

Menteri-menteri parti itu yang dilihat mesra PN juga akan terkena tempias pada PAU kali ini namun mungkin tidak sehebat gesaan pembubaran Parlimen.

Mujibu berkata PAU kali ini antara lain akan menjadi medan lobi-melobi kepada pihak yang berhasrat untuk bertanding pada PRU15.

Edisi PAU sebelum ini menyaksikan “pemberontakan terbuka” antara menteri-menteri Umno dengan Zahid.

Ismail yang ketika itu menteri pertahanan menyifatkan PAU sebelum ini “paling teruk”.

Klip video ucapan itu dirakam beberapa hari selepas PAU.

Ismail ketika itu menyerang ucapan penutup Zahid.

Bagaimanapun, penganalisis Awang Azman Awang Pawi dari UM berkata kedua-dua pihak akan bersikap berdiam diri ataupun meredakan konflik tersebut ekoran isu menteri besar Johor.

“Bukan sahaja presiden, tetapi perdana menteri juga perlu menyelesaikan isu ini. Jika perdana menteri membantu isu ini, pertembungan antara Zahid dan Ismail tidak terlalu tegang,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, PAU juga dijangka akan membahaskan kerjasama antara parti itu dengan PAS bagi menghadapi PRU15.

“Jika terdapat keperluan, ia mesti berdasarkan sentimen dan suara majoriti perwakilan. Jika sebaliknya, ia juga mesti dapat sokongan perwakilan,” katanya.

Ini kerana pembangkang dijangka membentuk pakatan yang lebih terbuka dan meluas bagi mendepani BN.

Dalam pada itu, Mujibu turut menyatakan perkembangan yang berlaku di Johor sedikit sebanyak akan mempengaruhi hala tuju PAU.

“Umno terpaksa berdepan konflik dalaman di Johor yang mana ia mampu menjejaskan integrasi kepimpinan Umno terutama dari sudut orang lama melawan orang baru.

“Isu menteri besar juga akan memberi impak,” katanya.

Mujibu merujuk kepada krisis kepimpinan di negeri selatan itu apabila Hasni Mohammad tidak dilantik sebagai menteri besar walaupun menjadi “poster boy” sepanjang kempen pilihan raya negeri Johor.