Annuar Musa berkata perwakilan ketiga-tiga sayap boleh menjadikan ucapan perasmian serentak Wanita, Pemuda dan Puteri Umno oleh timbalan presiden sebagai bahan untuk dibahaskan.
Merujuk ucapan Mohamad Hasan mengenai prestasi Umno dalam kerajaan tidak menunjukkan keyakinan yang diharapkan, menteri komunikasi dan multimedia itu menyifatkan ia sebagai pandangan peribadi timbalan presiden Umno.
“Saya mahu tahu apa yang tidak memuaskan? Berdasarkan apa, fakta apa? Portfolio mana yang dirasakan tidak memuaskan? Itu pandangan Tok Mat (sebagai individu) di luar kerajaan.
“Secara peribadi, ada yang saya setuju dan ada yang saya tidak setuju tetapi ia ucapan yang mungkin boleh dijadikan bahan untuk dibahas oleh Wanita, Pemuda dan Puteri dalam persidangan esok,” kata ketua Umno Ketereh itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian serentak Perhimpunan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri sempena Persidangan Agung Umno 2021 malam tadi.
Mohamad, dalam ucapan perasmiannya, berkata prestasi Umno dalam kerajaan tidak menunjukkan keyakinan yang diharapkan namun mengakui ada yang mencuba dan melakukan sehabis baik.
Mengulas mengenai waktu sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Annuar mengulangi kenyataan ia tidak harus dibincangkan secara terbuka kerana akan wujud pelbagai pandangan seterusnya mencetuskan polemik.
Beliau berkata tarikh pilihan raya sewajarnya menjadi strategi parti selepas perbincangan bersama pucuk pimpinan.
“Jangan cakap terbuka, tarikh (PRU15) cepat atau lambat bincang secara tertutup, kekalkan ia sebagai strategi parti kerana kalau bincang terbuka, akan ada yang setuju dan tidak setuju yang akhirnya mencetuskan polemik,” katanya.