Tumpuan yang berat ke atas isu rasuah dan perangi jenayah dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menyebabkan parti kurang mendapat sokongan rakyat, kata Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi Pejuang itu berkata, kesilapan parti itu kerana hanya memberikan penekanan terhadap isu tersebut tanpa memberi penelitian kepada permasalahan yang dihadapi rakyat seperti pengangguran, kemelesetan ekonomi dan kos sara hidup.
“Kita kurangkan masalah yang dihadapi oleh rakyat seperti pengangguran, tak cukup makanan, kena halau rumah sebab tak bayar sewa dan sebagainya.
“Perkara ni tak diberi tekanan sepenuhnya menyebabkan pengundi tak tertarik dengan hujah kita berkenaan dengan rasuah.
“Ini yang antaranya kita analisis kenal pasti. Masa depan kita akan kaji tiap-tiap masalah untuk betulkan pada masa akan datang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Pejuang di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, hari ini.
PRN Johor menyaksikan Pejuang kalah dan hilang deposit di kesemua 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.
Mengulas lanjut, Mahathir memberitahu, hasil mesyuarat itu sebulat suara yakin dan percaya supaya perjuangan Pejuang dalam arena politik negara perlu diteruskan meskipun mendapat sokongan yang masih kecil.
Beliau mengatakan parti yang memenangi PRN di Sarawak, Melaka dan Johor bukanlah kerajaan yang baik untuk negara.
“Sebab datang dari parti yang terlibat dengan jenayah yang besar dan rosakkan negara tak pasti macam mana mereka nak betulkan negara.”
Katanya, jika kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam siri PRN Johor dan Melaka disokong kerana rasuah, terdapat kemungkinan pemulihan negara tidak boleh dicapai.
“Selama-lamanya negara akan diperintah oleh rasuah dan guna kuasa rasuah untuk kekalkan diri mereka,” katanya.