- Iklan -
Berita

Zahid terus desak PM bubar Parlimen, 10 kali sebut ‘PRU15’ dalam ucapan dasar

Menurut Zahid, Umno mempunyai kuasa untuk menentukan hala tuju parti sendiri dalam mendepani PRU15 meskipun kuasa membubarkan Parlimen adalah keputusan Kabinet.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagang Dunia Kuala Lumpur.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagang Dunia Kuala Lumpur.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi meneruskan tekanan terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen, 10 kali menyebut tentang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam ucapan dasarnya dalam perhimpunan agung parti itu hari ini.

Katanya, Umno mempunyai kuasa untuk menentukan hala tuju parti sendiri dalam mendepani PRU15 meskipun kuasa membubarkan Parlimen adalah keputusan Kabinet.

“Jadi hendak tunggu apa lagi, bubarkan Parlimen,” katanya dalam ucapan dasar presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Zahid bagaimanapun berkata Umno adalah sebuah parti yang menjunjung Perlembagaan dan memahami kuasa untuk membubarkan Parlimen adalah keputusan Kabinet dan perdana menteri yang akan berurusan dengan memohon perkenan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ucapan Zahid hari ini sebada dengan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang sebelum ini turut mendesak Ismail membubarkan Parlimen segera selepas siri kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor.

Bagaimanapun Ismail sebelum ini menegaskan Umno tidak boleh melangkaui kuasa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam pembubaran Parlimen.

Dalam ucapannya, ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, terserah kepada perdana menteri untuk meneruskan memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak pembangkang yang disifatkan beliau sebagai “tidur dengan musuh”.

“Perhimpunan agung ini wajib mendengar suara akar umbi yang meminta agar mandat baru diperolehi melalui PRU15.

“Janganlah guruh berdentum dan kilat sabung-menyabung, namun tidak setitis pun hujan jatuh ke bumi,” katanya.

Dalam pada itu Zahid bertegas pemilihan Umno hanya akan diadakan selepas PRU15.

“Ini bukan keputusan saya. Ini keputusan saudara-saudari sewaktu mesyuarat perwakilan di bahagian masing-masing.

“Sudah menjadi kelaziman sebelum ini bahawa pemilihan parti diadakan selepas PRU. Bertahun-tahun ia diamalkan. Adakah wajar kita mengubah tradisi ini?” katanya.

Pemerhati politik sebelum ini berkata Zahid mahu mempercepatkan PRU15 sebelum pemilihan Umno sebagai langkah yang dilihat untuk menyelamatkan dirinya yang berdepan 47 pertuduhan rasuah dan jenayah.

Ismail juga diramal akan mencabar beliau untuk jawatan presiden pada pemilihan Umno yang perlu dijalankan sebelum Disember tahun ini.