- Iklan -
Berita

Bolehkah sastera kanak-kanak Malaysia buka lembaran baru?

Dongeng dan cerita rakyat yang semakin terpinggir menimbulkan persoalan bagaimana cara untuk menghidupkan semula minat terhadap sastera kanak-kanak.

Nur Hasliza Mohd Salleh dan Syaza Norazharuddin
3 minit bacaan
Kongsi
Dua kanak-kanak mencari buku aktiviti di sebuah kedai buku di Sun Suria, Setia Alam.
Dua kanak-kanak mencari buku aktiviti di sebuah kedai buku di Sun Suria, Setia Alam.

Masihkah kita ingat akan kisah dongeng Bawang Putih Bawang Merah, Pak Pandir yang tergadai tanah dan anak derhaka Si Tanggang?

Juga kepada lagu-lagu rakyat yang sering menjadi siulan kanak-kanak seperti Rasa Sayang Hey, Chan Mali Chan dan Ikan Kekek.

Bukan itu sahaja, ibu bapa juga sering mendodoikan anak-anak yang hendak tidur dengan lagu-lagu tersebut.

Jika kita masih ingat, kedai-kedai buku juga pernah dipenuhi dengan buku-buku cerita rakyat yang menjadi kegemaran kanak-kanak.

Pelbagai tajuk-tajuk buku yang menarik membuatkan buku-buku cerita dongeng menjadi kegilaan kanak-kanak.

Ini semua sebahagian daripada karya-karya sastera, bukan sastera biasa tetapi ianya sastera kanak-kanak iaitu hasil-hasil kreatif yang berupaya membantu golongan muda itu belajar dan mengenali budaya masing-masing.

Bukan sahaja di Malaysia, hampir di seluruh dunia mempunyai identiti sastera kanak-kanak mereka yang tersendiri.

Di negara Barat, buku cerita kanak-kanak seperti “The Tale of Peter Rabbit”, siri “Harry Potter” dan “Alice in The Wonderland” amat dikenali di mata dunia sehinggakan terdapat naskah-naskah terjemahan melebihi 30 bahasa dan dicetak berulang kali.

Kini di Malaysia, sastera kanak-kanak semakin menyepi.

Siaran kisah-kisah dongeng kanak-kanak di televisyen sudah diganti dengan iklan jualan secara langsung.

Lagu-lagu rakyat kini sudah jarang didengar, malah tiada lagi yang asli.

Kebanyakannya, lagu-lagu baru yang sudah diubah dengan elemen muzik yang baru.

Di kedai-kedai buku juga jarang kelihatan buku-buku cerita kanak-kanak dipaparkan pada pengunjung.

Tiada lagi sambutan hangat dari kanak-kanak dan ibu bapa terhadap karya-karya kreatif sastera tempatan.

Di manakah silapnya?

Adakah era digitalisasi meminggirkan sastera kanak-kanak?

Perbincangan akademik mendapati, digitalisasi sangat mendukung karya sastera kanak-kanak dengan memperkenalkan judul-judul dalam bentuk e-books.

Ini membuktikan perkembangan digital tidak meminggirkan hasil sastera tersebut.

Jika diteliti semula, ramai orang dewasa terutama sekali ahli sastera sebenarnya membaca kembali buku cerita di zaman kanak-kanak yang memberi impak kepada mereka.

Ini boleh dilihat dalam karya-karya mereka yang meletakkan unsur-unsur kisah dongeng dan cerita rakyat seperti yang diadaptasi daripada sastera kanak-kanak.

Jadi, mengapa sastera kanak-kanak tidak boleh boleh dianggap sebagai satu cabang sastera yang penting dan utama dalam membangunkan masyarakat?

Peranan sasterawan?

Perkara ini patut menjadi perhatian para sasterawan negara di arus perdana.

Dengan anugerah dan gelaran yang diberi, sastera seharusnya hidup dalam jiwa setiap lapisan masyarakat dan bukan dikaitkan hanya satu kelompok sahaja.

Sastera selalu disalah anggap sebagai bahan bacaan untuk orang tua.

Seorang penulis dan aktivis sastera dari Gerak Malaysia Nursyuhaidah A Razak merasakan peranan sasterawan arus perdana dalam memperkasa pengaruh sastera kanak-kanak masih kabur.

“Sastera itu harus tetap dengan fungsinya iaitu pendidikan dan pencerahannya kepada masyarakat. Dalam konteks sastera kanak-kanak, tema yang lebih besar seperti anti rasuah dan pendidikan politik boleh diserap dalam karya sastera,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Ini kelompongan kita. Sastera arus perdana negara belum bersedia mengangkat tema-tema begini.”

Gerak Malaysia adalah satu gerakan oleh sekumpulan anak muda yang aktif menulis dan menganjurkan program sastera bersama ahli akademik dan penggiat sastera dalam negara dan luar negara seperti Indonesia dan Singapura.

Atas sebab itu, terdapat usaha membawa masuk sastera kanak-kanak dari negara luar melalui kerja terjemahan.

Sebuah penerbit buku yang sedang menempa nama, The Biblio Press mengakui perkembangan buku kanak-kanak sangat perlahan menybabkan ianya sukar untuk dijual.

Bagaimanapun selepas setahun menubuhkan anak syarikat, Biblio Kids untuk penerbitan khusus kanak-kanak, satu trend yang baik mula dikesan.

Pengasasnya Kiridaren Jayakumar berkata, pihaknya memilih untuk menerbitkan karya sastera kanak-kanak disebabkan minatnya di waktu kecil sekitar umur tujuh hingga sembilan tahun.

Katanya, ketika itu perkembangan buku kanak-kanak termasuk terjemahan dari luar negara sangat aktif dilakukan.

“Buku-buku sebegitu buatkan saya minat bahasa Melayu dan juga membaca sejak umur tujud atau sembilan tahun. Selain Harry Potter, Buku-buku (terbitan) Oxford fajar, mereka juga ada buat buku-buku cerita dan hikayat dulu-dulu.

“Kami rasa kenapa benda (sastera) ini untuk dewasa saja kalau kanak-kanak pun boleh juga,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, syarikat penerbitannya kini dalam fasa akhir menerbitkan beberapa hikayat dan kisah pahlawan Islam.

Terbaru, Biblio Press menterjemah karya sastera kanak-kanak dari Perancis yang amat tersohor bertajuk “Le Petit Prince” atau dalam bahasa Melayu, Putera Kecil.

Tambahnya, beberapa judul baru juga dijangka keluar di pasaran dalam tahun ini hasil kerjasama dengan penulis buku tempatan.

“Sebenarnya saya rasa buku yang dah bertahan selama berdekad dan berabad tahun ni, sangat penting untuk dibaca oleh semua kanak-kanak.

“Kalau dari sudut sastera kanak-kanak kita memang ketinggalan jauh dari Indonesia. Kalau sastera kanak-kanak memang kurang karya untuk dibaca dan kalau tak ada buku untuk mereka baca, tak boleh salahkan mereka guna gajet.”

Satu hakikat yang mungkin kita terlupa, sastera kanak-kanak bukan untuk hiburan mereka semata-mata tetapi satu alat pembangunan bangsa.