- Iklan -
Berita

Naungan diraja atau setinggan di Johor?

Sebilangan penduduk berkata mereka bimbang dengan pertumbuhan masyarakat di Kampung Pasir Putih, namun mereka percaya baik secara sah atau tidak, mereka sudah menjadi sebahagian daripada kawasan itu.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi
Rumah setinggan di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor.
Rumah setinggan di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor.

Di tengah-tengah kesibukan bandar Pasir Gudang, terdapat satu penempatan setinggan yang makin sempit dan padat dengan penduduk, satu keadaan yang membimbangkan buat penduduk asal di situ.

Bukan sahaja padat, isu keselamatan di setinggan Kampung Pasir Putih juga perlu dipersoal.

Keadaan rumah yang dibina dalam jarak yang dekat dan berhimpit menyukarkan laluan air mengalir turun ke sungai setiap kali hujan lebat melanda mengakibatkan banjir kilat sering berlaku.

Malah, hampir di setiap lorong rumah mempunyai jeti kayu yang kian reput dan tidak selamat untuk dilalui.

Lorong sempit membahagikan deretan rumah di penempatan setinggan di Kampung Pasir Putih.

Struktur tanah atas rumah-rumah yang dibina juga mendap akibat tambakan tanah yang dibuat serta projek renovasi rumah yang dijalankan sedikit sebanyak mengubah struktur tanah di situ.

Perkembangan ini merisaukan dengan segelintir penduduk asal kampung itu menyifatkan penghuni setinggan sebagai terlalu selesa dan berdegil untuk menyelesaikan isu mereka yang sudah berlarutan sejak enam dekad lalu.

Seorang penduduk asal di kampung itu memberitahu, pembiakan setinggan disebabkan sikap pemilik-pemilik rumah laut yang menambak tanah sendiri di pesisir laut dan membina rumah tanpa kebenaran kerajaan tempatan.

Lama kelamaan, kegiatan itu semakin berleluasa dan tidak terkawal.

“Adakah sengaja tak nak pindah kerana duduk secara percuma dan terlalu selesa berada di dalam rumah setinggan?

“Atau mereka sebenarnya terpaksa duduk di sini sebab tak mampu nak beli rumah atau isu kewangan? Banyak isu yang berlarutan di kawasan setinggan ini,” katanya kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

Kampung Pasir Putih merupakan antara tiga kampung utama yang dibangunkan di situ sejak tahun 1920.

Sekumpulan lelaki duduk di sebuah warung kopi di Kampung Pasir Putih.

Kini, hanya kampung tersebut yang masih kekal.

Terletak kurang 10 minit daripada Pelabuhan Pasir Gudang, kampung berkenaan juga didiami oleh nelayan dan buruh-buruh kilang berdekatan.

Menurut sumber itu lagi, penghuni setinggan menjadi berani kerana dilihat tiada tindakan yang diambil ke atas mereka.

Sehingga satu tahap, katanya, mereka menambak tanah dan membina lebih unit-unit setinggan untuk dijual kepada nelayan dan buruh kilang yang berminat.

Ini menyebabkan penempatan setinggan tidak lagi terkawal dan penduduk tempatan semakin tidak selesa.

“Jika penempatan setinggan ini berkurangan, kampung menjadi lebih cantik dan kemas.

“Terutama sekali di saat-saat pandemik begini. Duduk secara berdekatan dan berhimpit boleh menularkan wabak dengan lebih cepat,” katanya.

Bukan itu sahaja, kawasan tersebut juga mempunyai sebuah restoran makanan laut yang sangat dikenali.

Hampir setiap hari, restoran tersebut dikunjungi pelanggan dari seluruh negara termasuk pelanggan dari kalangan orang ternama dan kerabat diraja.

Lokasi restoran tersebut berada di tengah-tengah kawasan setinggan kampung tersebut.

‘Jangan kacau kampung kami’

Sementara itu, dalam satu tinjauan MalaysiaNow pada suatu petang di kampung berkenaan mendapati suasana kampung tersebut benar-benar sempit dan kotor.

Terdapat juga beberapa projek mendirikan rumah sedang dijalankan, mengiyakan kata-kata sumber tadi.

Di sebuah kedai runcit, sekumpulan penduduk sedang berehat selepas menangkap hasil laut, mereka menyebut “jangan kacau kampung kami” berulang-ulang kali setiap kali ditanya mengenai kawasan setinggan tersebut.

Seorang nelayan duduk sambil menjahit pukatnya di Kampung Pasir Putih.

Meskipun tidak marah, mereka seolah-oleh memberi amaran bahawa mereka sudah pun menjadi sebahagian daripada kawasan itu secara sah ataupun tidak.

Malah, mereka turut mendakwa kampung itu sebagai kampung “anak angkat Sultan Johor”.

Selepas diminta penjelasan lanjut, mereka mengatakan ramai penduduk setinggan di situ berketurunan Bugis, merujuk kepada salasilah keturunan kerabat diraja Johor.

Atas sebab itu, mereka percaya, setinggan di Kampung Pasir Putih mendapat lindungan istana Johor.

“Kampung ni sultan pun sayang. Dulu, selalu kembara mahkota, Tuanku turun ke sini. Tak ada apa masalahlah,” kata salah seorang daripada mereka kepada MalaysiaNow.

MalaysiaNow difahamkan, kampung tersebut sangat kuat memainkan sentimen keturunan Bugis sebagai salah satu cara untuk mengelakkan mereka dan keluarga daripada dihalau.

“Mereka ni suka bodek guna sentimen Bugis. Sebab takut mereka dihalau.

“Sebab mereka sedar diri, mereka ni kebanyakan bukan warganegara Malaysia, hampir semua datang dari negara seberang,” kata seorang lagi penduduk setempat ketika ditemui di sebuah masjid berhampiran.

Katanya, beberapa isu berbangkit pernah dirujuk orang ramai kepada ketua kampung dan kerajaan negeri, tetapi masih tidak nampak perubahan ketara dalam menangani masalah penempatan setinggan.

Ahli keluarga sedang menyediakan hantaran perkahwinan salah seorang anak saudara mereka sambil ditemani anak kecil di Kampung Pasir Putih.

“Isu sekarang, bukan sebab kita tak suka orang setinggan. Bukan. Kita faham, memang betul ada yang susah. Miskin betul. Tapi, ada juga duduk setinggan, beli rumah taman dua tiga buah di Masai. Macam mana tu?

“Jadi, kerajaan tempatan kena adil. Pastikan yang betul-betul layak dapat tanah kurnia.

“Sebab, kalau biar macam tu, memang sedap lah mereka duduk, satu sen cukai pintu tak bayar, sampah tetap majlis kutip, tapi tak bayar apa. Tak adil.”

Tunggu masa sahaja untuk diusir keluar

Dalam pada itu, MalaysiaNow dimaklumkan, usaha membodek istana dengan sentimen Bugis mungkin tidak berkesan kerana dikatakan satu projek membangunkan pusat percutian bersebelahan dengan kampung itu dalam proses perbincangan.

Seorang sumber turut memberitahu, projek membangunkan resort peranginan itu sudah hampir memulakan pembinaan tetapi dihentikan sementara kerana mendapat tentangan daripada Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

“Dulu pernah ada isu, mereka (kerajaan negeri) nak ambil semua tanah tepi laut tu. Sebelah kampung itu ada Puteri Resort, kelab golf dan tanah lot banglo tetapi terbiar. Mereka nak bangunkan di bawah Forest City.

“Tetapi disebabkan Pakatan Harapan (PH) menang, Mahathir bangkang. Forest City nak labur di situ, nak buat pusat peranginan dengan taman tema sekali.

“Saya sudah lihat sendiri blueprint projek tersebut di Subang Jaya. Mereka dah iklankan sekali, siapa nak beli di situ,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, perkara itu mengejutkan kerana dia pasti penduduk-penduduk setinggan di situ tidak mengetahui mengenai hal tersebut.

“Silap haribulan, mereka kata kampung tersebut ada lindungan istana, kau pula yang kena tendang keluar.”

MalaysiaNow sudah menghubungi ketua kampung Pasir Putih untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Bagaimanapun, beliau enggan memberikan maklum balas dan ulasan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.