- Iklan -
Berita

Apa formula Guan Eng untuk kalahkan BN pada PRU15?

Penganalisis berkata, dari sudut strategi pendirian tutup pintu kerjasama dengan PN tidak akan menguntungkan DAP atau PH dalam usaha menentang BN.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi DAP Lim Guan Eng (tengah) bersama pimpinan utama Pakatan Harapan Anwar Ibrahim (ketiga dari kanan) dan Mohamad Sabu (kedua dari kiri) di Kongres Tahunan DAP di Shah Alam 20 Mac lalu. Gambar: Bernama
Pengerusi DAP Lim Guan Eng (tengah) bersama pimpinan utama Pakatan Harapan Anwar Ibrahim (ketiga dari kanan) dan Mohamad Sabu (kedua dari kiri) di Kongres Tahunan DAP di Shah Alam 20 Mac lalu. Gambar: Bernama

Penganalisis mempersoalkan tindakan parti terkuat Pakatan Harapan (PH) menutup pintu kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) untuk berdepan dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), mengatakan tindakan tersebut sebagai “tidak logik”.

Dalam ucapannya pada Kongres Kebangsaan DAP ke-17 Ahad lalu, Lim mengingatkan ahli partinya mereka tidak boleh bekerjasama dengan pihak yang “mengkhianati” parti dan perjuangannya.

“Kalau kali pertama kita kena (tikam) belakang sekali, itu salah dia. Kalau kali kedua anda ditipu sekali lagi, itu salah anda sendiri,” katanya.

Walaupun tidak menamakan mana-mana pihak, kenyataan Lim itu dipercayai merujuk kepada parti komponen Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu yang sebelumnya bersama-sama DAP di dalam PH yang menumbangkan BN ketika PRU14 pada 2018.

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia berkata, kenyataan Pengerusi DAP Lim Guan Eng semasa kongres parti itu pada Ahad akan menyukarkan PH untuk menghalang kemenangan BN kerana tidak mempunyai undi Melayu yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Memang tak logiklah. Dia kena sedar diri bila parti komponen PH yang diharap untuk dapat undi Melayu gagal dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor,” kata Kamarul kepada MalaysiaNow.

Bagaimanapun, realiti politik semasa menunjukkan tanpa mendapatkan sokongan yang mencukupi daripada orang Melayu, sesebuah gabungan itu tidak boleh bertahan dalam arena politik.

Kamarul berkata parti komponen PH juga dilihat bergelut untuk mendapat kepercayaan pengundi Melayu pada siri PRN di Melaka dan Johor sebelum ini.

“Malah di Johor dua parti (komponen) itu, PKR dan Amanah, hilang deposit di banyak kerusi majoriti Melayu,” katanya.

PRN Johor 12 Mac lalu menyaksikan BN memenangi 40 dari 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Sementara PH mendapat mendapat 11 kerusi, PN 3, PKR 1 dan Muda 1.

Kamarul berkata, sudah terbukti pada PRN Johor bahawa undi Bersatu di kerusi majoriti Melayu lebih tinggi.

Atas sebab itu, katanya, jika DAP berkeras tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu, ia seperti menyerah kalah di peringkat awal untuk PRU15.

“PRU kali ini perlu dihadapi dengan data bukan dengan sentimen dan emosi seperti ditunjukkan oleh Lim Guan Eng,” katanya.

Dalam ucapan terakhirnya sebagai setiausaha agung DAP, Lim dilihat sebak dan menitiskan air mata.

Beliau sempat meminta agar ahli parti tidak berasa kecil hati dengan situasi politik semasa yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PH selepas peristiwa Langkah Sheraton pada awal tahun 2020.

“Kita harus ingat bahawa keadaan kita semasa kita menjadi pembangkang sebelum 2008 lebih teruk,” katanya.

Bagaimanapun, Kamarul berkata gesaan Lim terhadap DAP tidak lagi mempunyai kesan aatu disifatkannya sebagai “tiada gigi” selepas beliau bukan lagi memegang jawatan sebagai setiausaha agung parti.

“Penentu sebenar dasar DAP sekarang ialah Anthony Loke.”

DAP pada Ahad melantik Loke yang juga ahli Parlimen Seremban sebagai setiausaha agung baru bagi menggantikan Lim.

Walaupun Lim kini menjawat jawatan pengerusi, di dalam DAP, jawatan setiausaha agung merupakan yang paling berkuasa.

Dendam peribadi?

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mazlan Ali berkata kenyataan Lim yang enggan membentuk kerjasama dengan PN sangat bersifat peribadi.

Katanya, ini memandangkan Lim pernah berada di dalam Kabinet di bawah kerajaan PH dan hilang jawatan sebagai menteri kewangan selepas kejatuhan mereka.

“Barangkali beliau rasa terkesan dengan Bersatu yang menarik sokongan daripada kerajaan dan menubuh kerajaan yang lain dengan Umno dan PAS,” katanya kepada MalaysiaNow.

Beliau turut berpandangan kenyataan tersebut tidak bersandar kepada strategi parti menuju pilihan raya umum yang akan datang.

Katanya, data membuktikan PH kehilangan undi Melayu dan sokongan kaum itu terhadap PH hanya sekitar 7% sahaja.

Manakala majoriti undi Melayu diberikan kepada BN dan PN dalam PRN Johor, 12 Mac lalu.

Mazlan berkata, DAP sendiri kini tidak mendapat sokongan padu daripada masyarakat Cina, tidak kira sama ada mereka tidak keluar mengundi atau sebagainya, tetapi MCA dan MIC dilihat mendapat sokongan dan berjaya memenangi banyak kerusi.

Manakala yang menyokong DAP hanyalah penyokong tegar, tetapi ianya masih belum cukup untuk melonjakkan DAP dan PH dalam menguasai semula kerajaan negeri dan persekutuan.

“Sebenarnya dari segi strategi, tidak mahu buka ruang kerjasama dengan parti-parti lain termasuk Bersatu, PN adalah satu tindakan yang salah dari segi strategi.

“Melainkan Lim Guan Eng ada formula bagaimana nak lonjakkan semula PH dalam PRU di Malaysia.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.