- Iklan -
Berita

Kabinet Sabah secara dasar lulus cadangan hadkan 2 penggal jawatan KM

Cadangan itu akan dibawa ke sidang DUN Sabah akan datang sekiranya semua Adun bersetuju untuk meminda perlembagaan negeri berkaitan perkara tersebut.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kabinet Sabah bersetuju untuk mengehadkan penggal jawatan ketua menteri negeri itu. Gambar: Bernama
Kabinet Sabah bersetuju untuk mengehadkan penggal jawatan ketua menteri negeri itu. Gambar: Bernama

Kabinet Sabah secara dasarnya meluluskan cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri Sabah kepada dua penggal, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.

Pembantu Ketua Menteri Abidin Madingkir berkata cadangan itu akan dibawa ke mesyuarat DUN Sabah akan datang sekiranya semua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bersetuju untuk meminda perlembagaan negeri berkaitan perkara tersebut.

“Sebenarnya cadangan ini memang baik. Kalau kita lihat di peringkat (kerajaan) persekutuan juga, sudah ada cadangan ini untuk mengehadkan tempoh pelantikan (jawatan) perdana menteri.

“Kalau kita lihat pula di negara-negara barat yang maju seperti di Amerika Syarikat dan negara-negara barat lain, mereka juga mengehadkan tempoh pelantikan presiden dan perdana menteri masing-masing.

“Jadi, saya nyatakan di sini lagi, sekiranya semua (Adun) bersetuju mengenai cadangan ini (mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal), kita akan bawa ke persidangan DUN akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ewon Benedick (Upko-Kadamaian) yang ingin tahu sama ada kerajaan Sabah bercadang untuk meminda perlembagaan negeri bagi membolehkan had pelantikan ketua menteri kepada dua penggal sahaja.

Abidin berkata sokongan semua wakil rakyat diperlukan untuk membawa cadangan itu ke mesyuarat DUN Sabah agar ia dapat direalisasikan.

Semua aspek perundangan berkaitan cadangan itu akan dibincangkan oleh pegawai-pegawai perundangan dari Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah bagi melihat setiap implikasi sekiranya perlembagaan negeri berkaitan tempoh jawatan ketua menteri dipinda, katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.