- Iklan -
Berita

Lokman Adam mohon maaf, kes saman fitnah ketua hakim syarie selesai

Menurut peguamnya, Lokman menerima maklumat daripada pihak ketiga dan tidak menyemak terlebih dahulu sebelum menyedari maklumat itu salah.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam. Gambar: Bernama
Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam. Gambar: Bernama

Kes saman Mohd Na’im Mokhtar terhadap Lokman Noor Adam hari ini selesai secara baik selepas bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu membuat permohonan maaf kepada ketua hakim syarie itu.

Peguam Akberdin Abdul Kader yang mewakili Na’im ketika dihubungi pemberita berkata pada prosiding secara dalam talian di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Rozana Ali Yusoff hari ini, beliau memaklumkan kepada mahkamah mengenai terma-terma dalam perintah persetujuan.

“Lokman menerima maklumat salah daripada pihak ketiga dan tidak menyemaknya terlebih dahulu dengan plaintif (Na’im) sebelum menyedari maklumat yang disampaikan itu adalah salah.

“Beliau (Lokman) kesal dan memohon maaf dengan apa yang terjadi serta berjanji tidak akan mengulanginya dan akan menurunkan kesemua penghantaran berunsur fitnah terhadap plaintif,” katanya dan menambah hakim Rozana merekodkan perintah persetujuan itu.

Prosiding itu turut disertai Na’im serta peguam Logen Eksander Abdullah dan Norfazilah Jaafar yang mewakili Lokman.

Logen Eksander ketika dihubungi juga mengesahkan perkara itu dan berkata beberapa terma dalam perintah persetujuan tidak didedahkan atas persetujuan kedua-dua pihak.

Na’im, 54, memfailkan saman atas kapasiti peribadi dengan menuntut ganti rugi berjumlah RM30 juta dari Lokman berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap beberapa wanita termasuk seorang “Datin.”

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Na’im yang juga ketua pengarah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia mendakwa Lokman telah memfitnahnya dengan membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook “Lokman Noor Adam Official” pada 10 Januari dan 13 Januari lepas.

Na’im mendakwa defendan juga memuat naik siaran langsung itu di YouTube miliknya masing-masing pada 10 dan 14 Jan selain memuat naik tiga hantaran fitnah terhadap beliau di Facebook milik defendan pada 11 dan 13 Januari lepas.

Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya beliau seorang penunggang agama, gagal menjadi pemimpin berkredibiliti dengan akhlak terpuji dan dihormati serta memberi teladan yang baik kepada masyarakat serta mencemarkan imej dan institusi Jabatan Kehakiman Syariah.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am yang akan ditaksir oleh mahkamah, ganti rugi teladan, teruk dan punitif masing-masing berjumlah RM10 juta, faedah, serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah selain permohonan maaf daripada defendan yang dimuat naik di media sosial.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.