- Iklan -
Berita

Nazri gesa kerajaan laksana akta anti lompat parti

Ahli Parlimen Rengas itu berkata pelaksanaan akta itu adalah bagi memastikan kestabilan politik dan menamatkan isu wakil rakyat lompat parti pada masa akan datang.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz. Gambar: Bernama

Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Abdul Aziz menggesa supaya Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini supaya ia dapat menamatkan isu ketidakstabilan politik negara dengan segera.

Beliau berkata, pembentangan akta itu wajar dilakukan bagi membolehkan semua wakil rakyat berbahas dan berkongsi pandangan masing-masing bagi menambah baik rang undang-undang (RUU) itu sekiranya ia memerlukan pindaan.

Katanya, tiada lagi alasan untuk tidak melaksanakan akta tersebut memandangkan akta itu diyakini akan menerima sokongan majoriti dua pertiga termasuk daripada wakil rakyat pembangkang.

“Yang penting ia mesti diluluskan, dibentang, mesti masukkan RUU itu dalam Dewan Rakyat dan sekiranya ada apa-apa kelemahan, ia boleh diperbaiki pada masa hadapan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah beliau, tindakan wakil rakyat melompat parti adalah perkara memalukan dan akan memanjangkan ketidakstabilan.

Sementara itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu turut memberi amaran untuk mengadakan demonstrasi di jalanan bagi mendesak Parlimen dan kerajaan sekiranya tidak memperkenalkan akta anti lompat parti dengan segera.

Beliau yang merupakan ahli Parlimen Kota Raja, berkata tindakan itu akan dilaksanakan memandangkan desakan yang dibuat di Parlimen seolah-olah tidak dipedulikan.

Beliau mendakwa, sekiranya akta itu tidak diperkenalkan, negara bakal berdepan kesukaran untuk mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan sukar mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil.

“Kalau akta anti lompat parti ini tidak diperkenalkan kali ini atau dalam sidang khas parlimen, saya dan rakan-rakan barangkali akan kembali semula ke jalan raya untuk mendesak,” katanya.

“Sebab kita lihat apabila bercakap dalam Parlimen, kadang kala ianya tidak dipedulikan.”

Pada Februari 2020, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang apabila kehilangan sokongan majoriti dan digantikan dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, pada Ogos tahun lalu, kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin itu ditumbangkan selepas beberapa ahli Parlimen Umno diketuai Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan sekutunya bekas perdana Najib Razak menarik sokongan terhadap kerajaan Muhyiddin.

Ismail Sabri Yaakob dari Umno kemudiannya diumum sebagai perdana menteri Ke-9 selepas menerima sokongan daripada majoriti ahli Parlimen termasuk dari PN .

Sepanjang pandemik melanda negara, empat pilihan raya negeri (PRN) termasuk di Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor telah diadakan di mana ia melibatkan kos perbelanjaan sebanyak RM422 juta.

Sementara itu, Nazri menegaskan bahawa ketidakstabilan negara berpunca dari PH sendiri apabila berlaku pergaduhan antara parti dalam gabungan politik tersebut hingga menyebabkan kejatuhan kerajaan.

“Ucapan dia (Mohamad) hanya 80% saja yang saya sokong sebab dia menyebut bahawa penyebab ketidakstabilan adalah apabila BN jadi kerajaan, sedangkan yang tidak stabil itu berpunca daripada pergaduhan antara mereka.

“Pergaduhan antara PN dan BN memang wujud, tetapi tidaklah sampai tahap jatuh kerajaan.

“Jadi, jangan salahkan kami,” ujar beliau.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.