- Iklan -
Berita

Kos ambil pekerja domestik Indonesia ditetapkan RM7,800

Caj yang melebihi jumlah itu perlu dilaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan kawasan perumahan di kawasan Ampang, Kuala Lumpur. MoU Indonesia-Malaysia memuktamadkan kos pengambilan pekerja domestik sebanyak RM7,800.
Pemandangan kawasan perumahan di kawasan Ampang, Kuala Lumpur. MoU Indonesia-Malaysia memuktamadkan kos pengambilan pekerja domestik sebanyak RM7,800.

Kos pengambilan pekerja domestik Indonesia ditetapkan sebanyak RM7,800 dengan RM6,000 kos di pihak Malaysia manakala RM1,800 di pihak Indonesia, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim berkata penetapan kos itu adalah seperti yang dimuktamadkan dalam memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia.

“Untuk makluman, MoU ini telah menetapkan kos (pengambilan pekerja domestik Indonesia) iaitu RM7,800… Jadi kalau ada satu caj atau bayaran yang melebihi seperti (kos) ini boleh buat laporan kepada Jabatan Tenaga Kerja,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan P. Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) yang ingin tahu kos secara terperinci yang dibayar pemohon kepada ejen pengambilan pekerja domestik Indonesia sebelum wabak Covid-19 dan bilangan agensi yang terlibat dalam pengambilan pekerja migran dari Bangladesh.

Menjawab soalan pengambilan pekerja migran dari Bangladesh, Awang berkata mesyuarat jemaah menteri pada 10 Disember 2021 telah bersetuju supaya pengambilan pekerja asing warga Bangladesh adalah menerusi 275 agensi pekerjaan Bangladesh.

Bagi mencegah rasuah dan eksploitasi kemasukan pekerja migran ke negara ini, beliau berkata antara langkah yang diambil adalah melalui pewujudan MoU berhubung penggajian pekerja asing dengan pihak negara sumber yang bertujuan memberi perlindungan sewajarnya dari segi hak dan kebajikan pekerja serta menjaga kepentingan majikan.

Selain itu, Awang berkata ia juga bertujuan untuk membanteras sindiket yang memonopoli, mengeksploitasi dan mengawal kemasukan pekerja asing ke Malaysia.

“Hanya agensi pekerjaan swasta yang berdaftar di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Akta 246) dibenarkan membantu majikan menguruskan segala urusan penempatan pekerja asing di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Kasthuriraani mengenai langkah-langkah mencegah rasuah dan eksploitasi yang akan diambil kerajaan terhadap sindiket yang memonopoli, mengeksploitasi dan mengawal kemasukan pekerja migran ke Malaysia.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.