- Iklan -
Berita

Lelaki Badwi ditembak mati selepas tikam, rempuh orang awam di Israel

Empat mangsa terkorban akibat serangan ganas lelaki itu.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Sukarelawan Zaka, pasukan tindakan kecemasan Yahudi Ortodoks di Israel membersihkan kesan darah akibat serangan ganas di Beersheba, Israel. Gambar: AFP
Sukarelawan Zaka, pasukan tindakan kecemasan Yahudi Ortodoks di Israel membersihkan kesan darah akibat serangan ganas di Beersheba, Israel. Gambar: AFP

Empat terkorban selepas seorang lelaki menikam dan melanggar orang awam di selatan Israel pada Selasa dalam serangan paling buruk sejak beberapa tahun lalu.

Media Israel mendakwa penyerang itu adalah seorang berketurunan Arab dari suku Badwi yang sebelum ini cuba menyertai kumpulan Daesh, bagaimanapun lelaki itu ditembak mati oleh penduduk tempatan di bandar Beersheba.

Seorang saksi, Liraz Zrihan yang sedang mencuci keretanya di stesen minyak ketika serangan tersebut berlaku berkata dia melihat penyerang melibas sebilah pisau panjang “seakan pedang”, dan berlegar-legar mencari mangsa untuk ditikam.

Menurut polis dan anggota perubatan kecemasan Magen David Adom, penyerang itu menikam seorang wanita di stesen minyak dan menggunakan keretanya untuk melanggar seorang lelaki berusia 60-an yang sedang mengayuh basikal.

Dia juga kemudiannya turut menikam beberapa orang lain di luar pusat beli-belah, sebelum ditembak mati.

Polis belum mengeluarkan pengecaman suspek secara rasmi.

Beberapa media Israel melaporkan penyerang itu ialah Mohammed Abu al-Kiyan, bekas guru sekolah berusia 30-an daripada masyarakat Badwi Hura, berdekatan Beersheba, yang sebelum ini disabitkan bersalah kerana cuba menyertai Daesh dan menyebarkan ideologi jihad.

Pada 2015, Israel menahan enam orang Arab Badwi termasuk empat guru, kerana didakwa menyokong Daesh.

Memberikan responsnya, Perdana Menteri Israel Naftali Bennett berjanji akan membanteras “pengganas” susulan dimaklumkan berhubung serangan tersebut.

Bennett turut memuji mereka yang menembak penyerang, dan berkata tindakan tersebut menunjukkan kepintaran dan keberanian di mana ia berjaya mencegah lebih banyak korban.

Dalam sebuah kenyataan, suku Arab Badwi Abu al-Kiyan turut mengutuk serangan itu, mengatakan tindakan tersebut mewakili individu dan tidak mewakili pendirian anggotanya yang mematuhi undang-undang dan sentiasa percaya dengan nilai hidup bersama.

Sementara itu, kumpulan Hamas yang mengawal Gaza, mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab terhadap serangan tersebut, sebaliknya menyalahkan layanan Israel terhadap rakyat Palestin.

Serangan tikam dan rempuh menggunakan kenderaan adalah perkara biasa di Israel.

Kebiasaannya, serangan tersebut dilakukan oleh warga Palestin secara berseorangan.

Namun kebanyakan serangan ganas sering berlaku di timur Baitulmaqdis, bandar yang dijajah Israel selepas Perang Enam Hari pada 1967, atau di Tebing Barat, yang diduduki Israel sejak tahun yang sama.

Serangan yang mengakibatkan kematian juga jarang berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Kawasan selatan Israel, termasuk Beersheba juga tidak pernah melaporkan serangan ganas sedemikian.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.