- Iklan -
Berita

Impian gadis tanpa kerakyatan miliki kad pengenalan sendiri

Selagi tiada kad pengenalan, sukar bagi Aina yang dilahirkan dan dibesarkan di Petaling Jaya untuk belajar di institusi pendidikan, mencari kerja dan berkahwin.

Nur Hasliza Mohd Salleh & Syaza Norazharuddin
3 minit bacaan
Kongsi
Aina bercakap mengenai kehidupan sebagai individu tanpa kerakyatan kepada MalaysiaNow ketika ditemui di Lembah Subang, Selangor.
Aina bercakap mengenai kehidupan sebagai individu tanpa kerakyatan kepada MalaysiaNow ketika ditemui di Lembah Subang, Selangor.

Seperti gadis seusianya yang lain, Aina memasang impian untuk keluar bersiar-siar dengan rakan-rakan di hujung minggu sambil mengambil gambar bagi dimuat naik ke media sosial.

Namun ada satu perkara yang menghalang impiannya daripada menjadi kenyataan: Aina bukan seorang warganegara Malaysia dan tidak memiliki dokumentasi rasmi.

“Orang lain dah pergi jalan jauh-jauh, saya cuma mampu duduk di rumah,” katanya dalam satu wawancara bersama MalaysiaNow di Petaling Jaya.

Gadis berusia 18 tahun itu merupakan salah seorang daripada kira-kira lebih satu juta individu tanpa dokumentasi kewarganegaraan sah yang tinggal di Malaysia.

Dengan mengesat linangan air mata, Aina memberitahu hatinya paling terusik apabila melihat rakan-rakan sebaya hadir ke sekolah sedangkan dirinya hanya mampu berada di rumah sekadar membantu dan menemani ibu yang tidak bekerja.

Bahkan, rakan-rakannya juga sering bertanya mengapa dia tidak berada di sekolah.

Namun, Aina hanya mampu berdiam diri dan tidak memberitahu masalah dokumentasi yang dihadapinya.

Lama-kelamaan, dia hanya memendam perasaan dan tidak berkongsi masalah itu dengan rakan-rakan.

“Nak keluar dengan kawan-kawan pun takut. Nak pergi jauh-jauh saya risau kalau kena tangkap. Dengan kawan-kawan pun saya tak bagitahu saya tak ada kad pengenalan diri.”

Bagaimanapun, bagi rakan-rakan rapat yang mengetahui, mereka sering bertanya apakah langkah seterusnya yang mahu diambil oleh Aina memandangkan umurnya kian meningkat dewasa.

Dia mengaku, pertanyaan-pertanyaan sebegitu amat tidak disenangi.

“Saya tak tahu nak cakap, tak boleh nak fikir, memang tak tahu macam mana nak buat lagi.

“Bukan kita tak usaha, dah usaha tapi masih sama, tak dapat juga,” katanya dengan nada sebak merujuk kepada kad pengenalan.

Aina dan lima lagi adik beradiknya dilahirkan di Petaling Jaya, Selangor dengan tiga orang dilahirkan di hospital kerajaan dan tiga lagi dilahirkan di rumah.

Kini, dia dan adik-adiknya berdepan krisis tanpa kerakyatan meskipun dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia.

Tidak seperti anak-anak muda tempatan yang lain, Aina dan adik beradiknya tidak mempunyai akses pendidikan formal dan kesihatan am di hospital kerajaan.

Kehidupan mereka banyak dihabiskan berada di dalam rumah atau bergaul dengan rakan-rakan yang tinggal di kejiranan sama.

Mahu sara keluarga

Selepas ditanya lebih lanjut mengenai kehidupannya, Aina memberitahu dia sudah kehilangan ayahnya yang selama ini menjadi ketua keluarga dan punca pencarian pendapatan untuk kelangsungan mereka sekeluarga.

Ayahnya meninggal tahun lalu di sebuah hospital kerajaan akibat jangkitan Covid-19.

Sejak itu, ibu Aina mengambil alih tugas menjaga keluarga itu dan pendapatan mereka bergantung kepada pemberian wang tunai oleh nenek sebelah ayahnya.

Bagaimanapun, dengan keadaan ekonomi yang kian mencabar, Aina merasakan dia perlu keluar dari rumah dan mendapat pekerjaan yang lebih stabil untuk menyara ibu dan adik-beradiknya.

“Kalaulah saya dapat kad pengenalan, saya nak sangat kerja.

Saya nak bantu ibu dan adik-adik. Takkan nak harapkan nenek sahaja? Sampai bila? Lepas ni kalau nenek sudah tiada macam mana?”

Ayah Aina ialah seorang warganegara yang memiliki kerakyatan sah dan berkahwin dengan ibunya dari negara seberang 24 tahun lalu.

Perkahwinan mereka berlangsung di negara seberang dan tidak didaftarkan selepas kepulangan mereka ke Malaysia.

Kecuaian di pihak ibu bapanya membuatkan Aina tidak boleh mengelak daripada menyalahkan mereka kepada permasalahan yang dia dan adik beradiknya hadapi buat masa ini.

“Saya sering persoalkan kenapa orang lain boleh dapat kad pengenalan? Kenapa saya dan adik-adik tak sama macam mereka?

“Tapi ibu selalu kata, sabarlah, banyakkan berdoa supaya dapat dibuka ruang penyelesaian kepada masalah ini,” kata anak sulung itu.

Selepas berbual lama, gadis itu tersipu malu apabila berkongsi perkembangan terkini hidupnya yang sedang dilamun cinta dengan seorang jejaka pilihan hati.

Bagaimanapun, senyuman yang terukir di wajahnya tidak bertahan lama apabila topik dokumentasi sekali lagi menjadi penghalang merpati dua sejoli itu untuk disatukan.

Dengan keadaannya yang tidak mempunyai dokumentasi lengkap untuk proses pendaftaran kahwin di pejabat agama, menyebabkan majlis akad nikah sering kali ditangguh dan ditunda tarikh.

Keadaan itu juga sedikit sebanyak mengakibatkan pihak lelaki sering menggesa Aina mempercepatkan proses permohonan kad pengenalan supaya mudah untuk berkahwin.

“Ramai juga yang kata, kenapa nak cepat-cepat? Kenapa masa umur 18 dah nak kahwin? Tunggu la dulu.

“Tapi, umur 18 ke, 19 ke, 20 ke, tetap sama selagi isu kerakyatan saya tak selesai.

“Setakat ini, dia (pihak lelaki) boleh faham sebab kita dah beritahu masalah kita. Tapi kalau dia tak boleh terima, itu terpulang.”

MalaysiaNow dimaklumkan, Aina dan adik-adiknya sedang dibantu oleh sekumpulan pengamal undang-undang, badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis dalam mendapatkan dokumentasi kerakyatan sah di sisi Perlembagaan.

Atas sebab itu, Aina yakin dan percaya terdapat sinar baru untuknya pada masa akan datang.

“Saya tak akan putus asa. Saya akan dapatkan juga kad pengenalan itu kerana saya bukan milik negara lain. Saya lahir dan membesar di sini.

“Saya kenal tempat saya, ini negara saya.”