Firma bioteknologi Amerika Syarikat (AS) Moderna berkata pihaknya sedang berusaha mendapatkan kelulusan badan kawal selia perubatan negara itu bagi vaksin Covid-19 bagi kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah selepas dua suntikan didapati selamat dan menghasilkan tindak balas imun yang kuat.
Dua dos suntikan mengandungi 25 mikrogram yang diberikan kepada bayi, kanak-kanak kecil dan kanak-kanak prasekolah tersebut telah menghasilkan tahap antibodi yang sama seperti dua dos 100 mikrogram yang diberikan kepada golongan belia berusia 18-25 tahun, menunjukkan tahap perlindungan pada tahap yang sama akan berlaku dengan vaksinasi itu.
Kanak-kanak berusia di bawah enam tahun adalah satu-satunya kumpulan yang masih belum mendapat akses kepada vaksin Covid-19 di AS.
Berdasarkan data itu, Moderna berkata ia akan menyerahkan permohonan kebenaran kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA), Agensi Perubatan Eropah (EMA) dan pengawal selia perubatan global lain dalam beberapa minggu akan datang.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Stephane Moderna Bancel turut berkata hasil data itu “adalah berita baik kepada ibu bapa kanak-kanak di bawah umur enam tahun.”
“Kami kini mempunyai data klinikal mengenai prestasi vaksin daripada bayi berusia enam bulan hingga dewasa yang lebih tua.”
Bagaimanapun, syarikat itu mendapati keberkesanan vaksin yang agak rendah terhadap jangkitan ketika ujian dilakukan semasa gelombang varian Omicron melanda.
Keberkesanan vaksin terhadap kanak-kanak enam bulan hingga dua tahun adalah 43.7% dan 37.5% bagi kumpulan umur dua hingga lima tahun.
Majoriti kes dalam data tersebut berada pada kategori ringan dan kedua-dua dos masih memberikan perlindungan yang sangat kuat. Kemasukan ke hospital atau kematian juga tidak dilaporkan.
Moderna berkata hasil ujian itu juga konsisten dengan apa yang telah direkodkan pada golongan dewasa.
Ia juga sedang mempertimbangkan dos ketiga sebagai vaksin penggalak, untuk meningkatkan keberkesanan terhadap jangkitan Omicron.
Ujian tersebut melibatkan 4,200 kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun dan 2,500 lagi berusia enam bulan hingga dua tahun.
Kesan sampingan yang direkodkan juga ringan dan konsisten dengan ujian pada kumpulan usia yang lebih tua.
Kadar demam yang dicatatkan selepas vaksin melebihi 38 darjah Celsius juga sama seperti vaksin pediatrik yang biasa digunakan dan disyorkan: iaitu sebanyak 17% dalam kumpulan enam bulan hingga dua tahun, dan 15% dalam kumpulan dua hingga enam tahun.
Syarikat itu turut menambah selepas berunding dengan FDA, ia juga sedang memohon kelulusan vaksinasi bagi kanak-kanak enam hingga 11 tahun bagi dua dos 50 mikrogram, dan mengemas kini permohonannya bagi kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun.