- Iklan -
Berita

Bagaimana pandemik Covid-19 ubah tradisi sewa bilik dan rumah

Sebelum pandemik melanda, penyewa biasanya diminta menyediakan butiran kewarganegaraan dan pekerjaan, namun kini status vaksinasi Covid-19 penyewa juga turut disemak.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi
Iklan sewa rumah di sebuah kawasan perumahan di Sepang.
Iklan sewa rumah di sebuah kawasan perumahan di Sepang.

Apabila rakan serumah Hafizatun disahkan positif Covid-19, dia dan tiga rakan serumah yang lain panik kerana pada ketika itu mereka masih belum divaksin.

Nasib tidak menyebelahinya, dia mendapat jangkitan virus itu beberapa hari kemudian dan ditempatkan di sebuah pusat rawatan Covid-19 di Selangor.

Tujuh bulan kemudian, salah seorang rakan serumahnya dijangkiti wabak itu sekali lagi.

Hafizatun mengambil keputusan untuk tidak pulang ke rumah sewanya di Puchong dan tinggal beberapa hari di kediaman ibubapanya di Sepang, Selangor.

“Ketakutan saya bukan kepada Covid semata-mata, saya faham wabak itu menular dan boleh menjangkiti sesiapa. Atas sebab itu, saya fikirkan rakan-rakan sekerja dan orang sekeliling,” kata wanita berusia 26 tahun itu kepada MalaysiaNow.

“Lebih baik saya elak balik ke rumah yang berkongsi empat hingga lima orang. Pulang rumah sendiri dah duduk di bilik sahaja selepas waktu kerja.

“Andai kata saya ni yang bawa penyakit dari rumah sewa, terkena pula rakan-rakan yang ada anak kecil di tempat kerja. Itu lagi menyusahkan.”

Proses menyaring dan menapis rakan serumah adalah satu proses yang berisiko memandangkan perkongsian bilik dan rumah dengan orang asing memerlukan keputusan yang tepat dan bertimbang rasa.

Namun, ianya bukan sesuatu yang asing bagi segelintir rakyat di Malaysia terutama sekali mereka yang bekerja dan menetap di bandar-bandar besar seperti di Lembah Klang.

Bagaimanapun, sejak Covid-19 melanda, tradisi menyewa rumah dan bilik dilihat mulai berubah.

Jika dahulu, pertanyaan lazim seperti, “Adakah anda warganegara Malaysia?”, “Di mana anda bekerja?” dan “Tinggal untuk berapa orang?”, kini soalan pertama yang diajukan oleh rata-rata ejen perumahan dan ketua rumah adalah: “Adakah anda sudah divaksin?”

Persoalan ini boleh menimbulkan rasa tidak senang dan ketegangan antara mereka dengan individu baru yang tidak dikenali.

Namun, di tengah-tengah penularan Covid-19 yang masih merekodkan puluhan ribu kes dan puluhan korban setiap sehari, ia sepatutnya diterima sebagai soalan penting dalam menyaring penyewa baru.

Terutama sekali, sekiranya mereka saling tidak mengenali satu sama lain.

Seorang ejen perumahan yang sudah arif dengan tugasnya sejak lapan tahun lalu mengakui banyak menerima reaksi selepas pertanyaan tersebut diajukan tidak kira sama ada secara bersemuka atau melalui panggilan telefon dan pesanan teks.

Cynthia Lim, 31, berkata, kebanyakan bakal penyewa yang menghubunginya terdiri daripada pelajar universiti dan individu bujang.

“Tidak ramai yang kisah dengan soalan itu. Bila saya minta bukti vaksin, mereka secara sukarela memberi salinan tangkap skrin untuk saya.

“Ada juga yang marah dan menuduh saya mengada-ngada. Juga ada yang menuduh saya sebagai melanggar privasi mereka. Sedangkan semua ini untuk keselamatan penghuni lain,” katanya kepada MalaysiaNow.

Dia yang menjaga unit-unit perumahan di seluruh Cyberjaya, Sepang dan Putrajaya berkata ramai penyewa bujang berkongsi rumah dengan penyewa lain yang tidak sama tempat kerja.

Lebih merunsingkan, apabila penyewa lain mempunyai tugasan di luar hampir setiap minggu dan leka dalam penjagaan diri seperti tidak melakukan sanitasi tangan selepas pulang atau kuarantin kendiri sebelum berkomunikasi dengan penyewa lain.

Menurut Lim, penyewa lain pula terdiri daripada pelajar universiti-universiti swasta di Cyberjaya.

Mereka ini lain pula ceritanya kerana tidak hadir ke kelas secara fizikal, mereka banyak duduk di rumah kerana kelas diadakan secara talian.

“Mereka selalunya sewa dengan kawan-kawan satu kelas. Bila tak ada kelas, mereka duduk sahaja di rumah dan pesan makanan dalam talian. Jadi pergerakan mereka juga terhad.”

Atas sebab itu, katanya, jangkitan Covid-19 dalam kalangan penyewa pelajar ini lebih rendah berbanding dengan yang bekerja.

Setakat 20 Mac, 97.5% populasi dewasa telah lengkap divaksinasi sementara 98.7% lagi telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Selain itu, hampir 66% daripada populasi tersebut telah menerima dos penggalak.

Pengurusan semakin tegas

Sementara itu, seorang pekerja di sebuah pejabat pengurusan pangsapuri di Cyberjaya memberitahu pihaknya terpaksa akur dengan permintaan dari pemilik unit yang mahukan penyewa-penyewa luar sentiasa mengemaskini status vaksinasi mereka.

“Kalau kami tak simpan rekod dan tapis dengan teliti, pemilik-pemilik ini akan datang ke sini (pejabat) dan marah kami dengan alasan mengatakan kami tidak bertanggungjawab kepada penghuni lain serta boleh mengakibatkan kluster apartmen ni pula.

“Jadi, mahu atau tidak, sesiapa yang menyewa bawah ejen, kena hantar bukti dan kami akan simpan di sini mengikut nombor unit rumah. Kalau tak boleh terima, boleh sewa di tempat lain yang tak tegas. Tapi rasanya, hampir semua pengurusan sama sahaja,” katanya dengan syarat tidak menamakan kompleks pangsapuri tersebut.

Meskipun tapisan dan saringan dilihat ketat dan rasional, bagi sesetengah pihak kelangsungan untuk membayar sewa unit rumah lebih penting.

Seorang ejen sewa beli rumah di Kuala Lumpur memberitahu MalaysiaNow pihaknya tidak meletakkan kepentingan vaksinasi sebagai keutamaan.

Sebaliknya, keupayaan bakal penyewa dalam membayar sewa mengikut waktu yang dijadualkan.

Ini susulan pergerakan ekonomi yang perlahan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menyaksikan banyak sektor ekonomi ditutup dan ramai pekerja diberhentikan daripada perkhidmatan.

“Vaksin atau tidak, saya kena juga cari penyewa untuk bilik-bilik yang kosong ni. Kalau mereka kerja baik, saya rasa boleh bayar. Saya ambil juga. Selagi bukan budak gian, pengotor, saya terima juga.

“Saya pun nak cari makan, mereka pula nak cari tempat berteduh. Tak perlu susahkan benda-benda semua ini,” katanya.

Sementara itu, penuntut tahun kedua Universiti Lim Kok Wing, Amelia Tan takut untuk menanggung sebarang risiko jangkitan wabak sekiranya menyewa unit rumah dengan rakan-rakan lain.

Terutama sekali melibatkan penyewa yang membuat kerja separuh masa dan gemar keluar bersiar-siar.

Atas sebab itu, buat masa ini Tan mengambil keputusan untuk tinggal bersendirian di sebuah pangsapuri yang terletak bersebelahan universitinya.

Pelajar yang berasal dari Kuantan itu mengakui dirinya terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi kerana menanggung bayaran sewa seorang diri tetapi merasakan ianya satu keputusan yang paling tepat buat sementara waktu.

MalaysiaNow difahamkan, unit studio yang disewa bersebelahan universiti itu disewa dengan kadar sewaan serendah RM900 tidak termasuk parkir kereta.

“Selepas kes Covid sudah mulai turun, saya pasti akan duduk bersama rakan-rakan sekelas yang rapat. Dengan itu, saya boleh belajar dan masak bersama.

“Buat masa ini saya rasa duduk seorang lebih senang dan selamat,” katanya kepada MalaysiaNow.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.