Kenya mengumumkan terdapat hampir 840,000 vaksin Covid-19 yang diterima melalui sumbangan global telah tamat tempoh penggunaannya, menyalahkan sikap ragu-ragu orang ramai terhadap inisiatif vaksinasi dan tempoh hayat vaksin yang singkat.
Dalam sebuah kenyataan pada Rabu, kementerian kesihatan negara itu berkata vaksin AstraZeneca tersebut disumbang kepada Kenya melalui inisiatif Covax.
“Mana-mana dos vaksin yang tamat tempoh mewakili hilangnya setiap peluang untuk menyelamatkan nyawa,” kata kementerian itu.
Kira-kira 30% daripada populasi sasaran di Kenya telah divaksinasi, namun pengambilan vaksin mulai perlahan dalam beberapa minggu kebelakangan ini ekoran penularan penyakit yang semakin berkurangan.
Awal bulan lalu, kira-kira 252,000 vaksin diberikan setiap hari di seluruh negara itu, ia bagaimanapun menurun sehingga ke paras 30,000 suntikan.
Kementerian berkata pengambilan dos kedua vaksin telah menurun secara mendadak manakala sesetengah rakyat Kenya menolak vaksin tertentu – terutama AstraZeneca.
“Kami terus menyaksikan wujud keraguan terhadap vaksin kerana dikaitkan dengan khabar angin dan maklumat palsu terutama mengenai kebimbangan kononnya ia akan menjejaskan kesuburan,” kata kementerian itu.
Kementerian turut berkata vaksin yang telah tamat tempoh tersebut tiba di Kenya pada Januari lalu, namun tarikh tamat tempohnya adalah pada 28 Februari, di mana tempoh masa untuk mengagihkan dos vaksin itu kepada orang ramai menjadi singkat.
“Selepas ini, Kenya hanya akan menerima sumbangan vaksin yang jangka hayatnya sekurang-kurangnya empat bulan bermula daripada masa penghantaran,” kata kementerian itu.
Kenya menerima lebih dari 27 juta vaksin Covid-19 namun hanya berjaya menjalankan sekitar 17.3 juta suntikan vaksinasi.
Kementerian itu juga berkata ia mempunyai vaksin yang mencukupi dan menggesa lebih ramai rakyat Kenya mendapatkan suntikan untuk mengelakkan vaksin yang diterimanya tamat tempoh.
“Kita semua mesti mengambil tanggungjawab sebagai individu dalam memastikan sekiranya kita mendapat peluang untuk menggunakan sumber yang ada, kita tidak bazirkan.”
Kerajaan menyasarkan untuk menggandakan pemberian vaksin kepada 27 juta rakyat Kenya menjelang akhir tahun ini.
Setakat ini, negara itu telah mencapai hampir lapan juta vaksinasi.
Menurut angka rasmi, hampir 5,650 terkorban akibat Covid-19 sejak kes pertama direkodkan di Kenya pada 12 Mac 2020.
Awal bulan ini, kerajaan mengumumkan kelonggaran beberapa langkah sekatan Covid-19, termasuk menamatkan pemakaian wajib pelitup muka di kawasan awam.