Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri tetap bertegas tidak akan membekalkan air mentah kepada negeri lain seperti Pulau Pinang sebaliknya mengutamakan kepentingan penggunaan air untuk penduduk di negeri itu.
Beliau berkata berdasarkan kepada kajian saintifik dijalankan oleh Lembaga Air Perak (LAP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), penyaluran air mentah ke negeri lain akan memberi kesan kepada sektor pertanian, industri dan penjanaan tenaga elektrik.
“Sebagai contoh sekiranya bekalan air mentah di Sungai Perak disalurkan juga ke negeri lain, ia akan menyebabkan penyusutan paras air sungai dan seterusnya menjejaskan penternakan ikan sangkar di Parit, Kampung Gajah dan Teluk Intan.
“Selain itu, Perak dijangka akan menerima lebih banyak pelaburan baharu dengan pembukaan kilang-kilang seperti di Tanjung Malim dan Bagan Serai. Lagi banyak kilang dibuka, lagi banyak keperluan air terutama kilang berasaskan getah.
“Jadi, saya minta maaf bukan kerana saya tidak bersimpati (dengan negeri lain dalam isu air) tetapi kita kena menyediakan bekalan air secukupnya untuk rakyat negeri Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 Tahun 2022 peringkat negeri Perak yang turut dihadiri Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid di pekarangan Briged Utara, Pasukan Gerakan Am hari ini.
Pada Selasa, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Ahmad Hamzah berkata kerajaan persekutuan berharap isu pembekalan air di Pulau Pinang, Kedah dan Perak dapat diselesaikan dengan baik berikutan kajian menunjukkan bahawa negeri-negeri di utara Semenanjung akan mengalami masalah kekurangan bekalan air menjelang 2050.
Beliau berkata ini adalah berdasarkan Kajian Sumber Air 2010-2050 (Perunding Zaaba 2008) yang telah merumuskan bahawa kawasan utara Semenanjung meliputi Kedah, Perlis dan Pulau Pinang akan dilanda kekurangan bekalan air yang ketara pada tahun tersebut.
Pada 3 Mac lepas, Saarani berkata Perak tidak mampu membekalkan air mentah dari Sungai Perak seperti dicadangkan di bawah Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) kepada Pulau Pinang, kerana kajian menunjukkan kegunaan air bagi negeri itu sendiri adalah tidak mencukupi sepenuhnya.
Saarani berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan delegasinya, yang hadir pada pertemuan di pejabat menteri besar baru-baru ini.