- Iklan -
Berita

2 bos AirAsia masing-masing dibayar RM4.8 juta pada 2020

Ramai pelanggan menuntut wang mereka selepas tiket penerbangan dibatalkan.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Pengasas AirAsia Tony Fernandes dan Kamarudin Meranun serta Pengerusi Kanan Bebas Bukan Eksekutif AAX Rafidah Aziz.
Pengasas AirAsia Tony Fernandes dan Kamarudin Meranun serta Pengerusi Kanan Bebas Bukan Eksekutif AAX Rafidah Aziz.

Laporan tahunan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 bagi AirAsia Group Bhd yang kini dikenali sebagai Capital A dan Air Asia X (AAX), menunjukkan Tony Fernandes dan Kamaruddin Meranun masing-masing menerima gaji tahunan RM4.8 juta manakala ahli lembaga pengarah syarikat itu pula menerima bayaran ratusan ribu ringgit ketika syarikat itu sedang menanggung beban kewangan akibat Covid-19 berikutan pembekuan operasi penerbangan.

Sementara dalam laporan tahunan bagi tahun kewangan berakhir AirAsia X berakhir 30 Jun 2021, bekas menteri yang juga Pengerusi Kanan Bebas Bukan Eksekutif AAX Rafidah Aziz menerima bayaran RM401,500.

Ahli lembaga pengarah lain pula menerima bayaran fi antara RM150,000 hingga RM280,000 serta elaun mesyuarat dan perjalanan dalam lingkungan puluhan ribu ringgit.

Laporan tersebut dikeluarkan ketika syarikat itu mengumumkan rantaian kerugian yang ditanggung ekoran pandemik Covid-19.

Pada September 2021, AirAsia X merekodkan kerugian suku tahunan sebanyak RM24.6 bilion bagi tempoh April-Jun, lapan kali lebih banyak daripada tahun sebelumnya. Ia adalah kerugian kesembilan syarikat penerbangan itu secara berturut-turut.

Tahun lalu, syarikat itu mencatatkan kerugian bersih RM887 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021, meningkat 4% berbanding RM851.78 juta pada suku yang sama pada 2020.

Sementara itu, AirAsia X pula berdepan isu tuntutan bayaran balik tiket oleh penumpang yang penerbangannya dibatalkan sejak dua tahun lalu sejak krisis Covid-19 melanda.

MalaysiaNow difahamkan ramai penumpang yang masih belum menerima wang mereka kembali.

Pada April tahun lepas, Fernandes memberi jaminan kepada kira-kira 450,000 pelanggan yang menunggu bayaran balik mereka akan mendapat kembali wang, sambil menambah bahawa AirAsia X menghadapi masalah kewangan.

“AirAsia X berada dalam masalah kewangan yang sangat-sangat teruk kerana tidak dapat melakukan penerbangan ke mana-mana pun. Tambahan pula ia terpaksa berdepan persaingan tidak sihat sejak bertahun-tahun dahulu,” katanya.

Pada 12 November lalu, AirAsia memaklumkan skim penyelesaian hutang AAX yang berjumlah RM33.65 bilion dikatakan menerima persetujuan 99% daripada pemiutangnya menerusi undi pada mesyuarat yang diadakan pada hari sama.

“Banyak yang sudah ditulis berkenaan klasifikasi penumpang sebagai pemiutang. Dalam penyata kewangan, selain menjadi pemilik saham, wujud dua kategori. Pihak yang sama ada menjadi penghutang jika mereka meminjam daripada syarikat atau menjadi pemiutang sekiranya syarikat meminjam duit daripada mereka. Jelas syarikat berhutang dengan penumpang yang mempunyai jumlah tunggakan wang yang dihutang daripada mereka, maka klasifikasi mereka adalah pemiutang.

“Kami juga menjamin penumpang yang terkesan dengan penstrukturan semula di mana AAX berniat untuk menetapkan beberapa keistimewaan dalam bentuk kredit perjalanan, di mana ia boleh digunakan ketika pembelian tiket pada masa akan datang sebaik sahaja sempadan antarabangsa dibuka semula di samping penumpang akan menerima 0.5% dan wang tunai lain berdasarkan beberapa kelayakan melalui prestasi pendapatan tahunan dalam tempoh tiga tahun seperti yang dijelaskan Kenyataan Penerangan dikeluarkan kepada semua pemiutang baru-baru ini.

“Kami juga ingin menarik perhatian anda bahawa keistimewaan dan kredit perjalanan hanya akan dilaksanakan jika AAX berjaya distruktur semula mengikut terma skim tersebut. Jika terma skim tersebut tidak dipatuhi dan skim itu gagal, AAX akan mengambil jalan pencairan aset dan penumpang tidak akan menerima sebarang pemulangan. Ia bukanlah niat AAX untuk meletakkan penumpang dalam situasi ini,” katanya.

Pada 16 Mac lalu, AAX dalam kenyataan berbeza memaklumkan syarikat itu mengemukakan perintah sekatan bagi penstrukturan semula hutangnya kepada Pendaftar Syarikat (RoC) dengan formaliti penstrukturan semula kini sudah selesai.

Menurutnya, perintah sekatan itu bermakna kesan kewangan boleh diiktiraf dalam penyata kewangan syarikat dan seterusnya AAX dapat memulihkan liabiliti berjumlah RM33 bilion dan peruntukan untuk liabiliti yang diketepikan di bawah skim itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.