- Iklan -
Berita

Rayu sumbangan guna ‘crowd funding’, Adun tunggal Muda dikecam tidak tahu tugas

Tindakan kutip derma Amira Aisya dilihat seakan terbawa-bawa dengan strategi lama walaupun sudah bergelar wakil rakyat.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Adun Puteri Wangsa Amira Aisya Abdul Aziz ketika meraikan kemenangannya pada PRN Johor 12 Mac lalu. Gambar: Facebook
Adun Puteri Wangsa Amira Aisya Abdul Aziz ketika meraikan kemenangannya pada PRN Johor 12 Mac lalu. Gambar: Facebook

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz didakwa tidak tahu menjalankan tugas sebagai wakil rakyat kerana menggunakan cara “crowd funding” untuk membantu mangsa kebakaran di Ulu Tebrau, Johor.

Amira memuat naik video merayu sumbangan orang ramai bagi membantu mangsa-mangsa kebakaran di laman Twitternya petang semalam.

Bagaimanapun, pengguna internet tidak bersetuju dengan caranya meminta sumbangan.

“Dah jadi Adun pun masih nak minta derma? Mana pergi duit kerajaan negeri? Awak Adun ke NGO?” menurut @azizanhariz.

Amira turut dikritik kerana Sultan Johor terlebih dahulu tiba melawat tapak kebakaran.

Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memeriksa tapak kebakaran dan membiayai kos bina semula gerai yang terbakar menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

Lima rumah kedai di Felda Ulu Tebrau hangus dijilat api pada Jumaat lepas menyebabkan mata pencarian peniaga-peniaga di premis itu terjejas teruk.

Menurut warga net, kaedah rayuan derma sedemikian seakan Adun itu terbawa-bawa dengan strategi utama parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebelum memenangi DUN itu pada Pilihan Raya Negeri Johor 12 Mac lalu.

Mereka berkata, tindakan Amira juga seakan seorang wartawan kerana hanya melaporkan keadaan mangsa kebakaran.

“Macam wartawan. Tapi wartawan biasa aje laaa. Best tak jadi YB?

“Kena hentam satu hal. Hantar wakil, then kena bahan baru hadir. Adoi la YB,” ciap @fotofadh

Sebelum ini, Muda kerap mengkritik kerajaan berhubung pengurusan bencana semasa banjir melanda beberapa negeri pada penghujung 2021.

Sebelum ini, Amira juga turut menegur calon MCA bagi DUN Puteri Wangsa, Ng Yew Aik yang mengatakan penduduk di DUN itu sering mencarinya walaupun beliau kalah pada PRN lalu.

“Sekiranya ada aduan dan saudara Ng tidak selesa dengan menerima aduan, boleh terus salurkan ke pejabat saya. Sekarang ni kami masih mencari pejabat tetap tapi bilik gerakan kami masih bergerak seperti biasa,” kata Amira dalam sebuah hantaran Facebook.

Amira menjadi satu-satunya calon Muda yang berjaya memenangi kerusi DUN pada PRN Johor dengan majoriti 7,114 dalam saingan enam penjuru.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.