- Iklan -
Berita

Tiada kegiatan ekonomi, punca perumahan baru tiada pembeli

Pembeli sangat mementingkan harga rumah yang ingin dibeli, namun kini aktiviti perniagaan di kawasan perumahan turut menjadi pertimbangan.

Nur Hasliza Mohd Salleh & Syaza Norazharuddin
3 minit bacaan
Kongsi
Beberapa buah kereta di tempat parkir sebuah perumahan pangsapuri yang kelihatan tidak mendapat sambutan pembeli di Taman Salak Maju, Sepang.
Beberapa buah kereta di tempat parkir sebuah perumahan pangsapuri yang kelihatan tidak mendapat sambutan pembeli di Taman Salak Maju, Sepang.

Projek perumahan yang dibina di kawasan yang tiada pembangunan komersial dilihat antara faktor ia kurang mendapat permintaan dalam kalangan pembeli, menyebabkan unit-unit rumah terdedah kepada risiko menjadi kediaman tidak terjual.

Perkembangan ini diakui menjadi kebimbangan bukan sahaja kepada pihak pemaju tetapi juga kepada ejen-ejen hartanah yang lebih arif dalam meneliti kehendak dan cita rasa pembeli.

Pembeli mahukan kawasan kediaman yang meriah bukan merujuk kepada kawasan itu sebagai membangun pesat tetapi memiliki pergerakan ekonomi dan perniagaan yang baik.

Ini termasuk perkhidmatan yang pelbagai dan mudah diakses seperti bank, pusat servis kereta, restoran, pusat hiburan, farmasi, pusat jagaan kanak-kanak dan dobi 24 jam.

Tinjauan MalaysiaNow di beberapa bandar besar di bahagian tengah dan selatan Semenanjung Malaysia mendapati punca permasalahan tersebut benar berlaku.

Dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Lembah Klang, boleh kelihatan beberapa kawasan perumahan di tepi-tepi lebuh raya sudah tersergam indah namun masih tiada pembeli dan penghuninya.

Ia meliputi kawasan seperti di Seremban, Nilai, Sepang, Salak Tinggi dan Cyberjaya.

Saiful Nizam dari agensi Hartanah Darul Khusus memberitahu buat masa ini, jualan unit-unit rumah yang sudah siap dibina berjalan dengan sangat perlahan.

“Sebab lokasi-lokasi rumah yang ‘sejuk’ dan harga jualan yang terlalu mahal,” katanya kepada MalaysiaNow merujuk kepada kawasan yang kurang tumpuan orang ramai kerana tiada kegiatan ekonomi di situ.

Seorang ejen hartanah di Johor Bahru, Raymond Cheo sudah menjual dan membantu pembeli mendapatkan rumah sejak 24 tahun lalu berkata isu harga jualan tidak begitu penting bagi pembeli.

Ini kerana, mereka pasti akan berusaha dan menjalankan perbincangan dengan pihak bank untuk memastikan pinjaman diluluskan dan berjaya memiliki rumah.

Pemerhatiannya selama ini mendapati, rata-rata pembeli akan memastikan kawasan kediaman yang bakal mereka diami mempunyai pelbagai sektor ekonomi dan tidak sendu.

Trend tersebut mula dikenalpasti sejak lima tahun kebelakangan ini.

Pada tahun-tahun sebelum itu, Choe berkata pembeli tidak begitu prihatin terhadap faktor komersial di kawasan kediaman.

“Mereka cari rumah yang berpatutan dengan gaji, walaupun di kawasan sunyi mereka beli. Sebab murah, boleh bayar bulan-bulan ataupun boleh beri sewa kepada orang lain.

“Sekarang, pembeli rumah pertama, akan cari tempat yang ada semuanya. Keluar rumah dekat pergi Starbucks, pergi KFC, pergi kedai mamak dan pasar raya.

“Sebab itu, kalau kita keluarkan iklan mahu jual rumah di kawasan yang banyak unit komersial macam pusat beli belah, unit-unit rumah ini tak ambil masa lama untuk menerima tempahan dan pembeli,” katanya kepada MalaysiaNow.

Segelintir pemaju membina unit-unit kediaman dengan pakej bersama unit-unit komersial baru.

MalaysiaNow difahamkan, unit-unit itu dibuka untuk dibeli atau disewa bagi memberikan perkhidmatan dan kemudahan kepada pembeli-pembeli rumah.

Bagaimanapun, trend sebegitu tidak mendapat banyak sambutan kerana unit komersial yang dijual atau untuk disewa tidak mendapat sambutan.

Tiada perniagaan yang dibuka malah beberapa pusat komersial di bandar-bandar tersebut tidak mempunyai penyewa.

Antaranya di Cyberjaya dan Nilai, tinjauan MalaysiaNow mendapati hanya kelihatan beberapa buah kenderaan di tempat parkir.

Manakala, unit rumah berdekatan bangunan komersial seakan kosong dan sepi.

“Ada pelanggan saya yang sudah berpotensi untuk beli rumah dah lulus pinjaman, sepasang suami isteri yang bekerja sebagai guru.

“Mereka rela membeli rumah yang jaraknya hampir 45 kilometer dari sekolah. Sedangkan rumah yang saya jual hanya tujuh kilometer dari sekolah,” tambah Cheo.

Bagaimanapun, bagi kes ini, Cheo berkata, disebabkan unit komersial unit kediaman yang dijualnya hanya mempunyai satu penyewa iaitu kedai mamak dua pintu, ramai pembeli berasa hampa dan bertindak memilih lokasi lain walaupun jauh daripada tempat kerja masing-masing.

Isu lambakan rumah tidak terjual bukan asing di Malaysia.

Hujung tahun lalu, kementerian perumahan dan kerajaan tempatan merekodkan sebanyak 30,290 unit rumah siap dibina tidak terjual dengan nilai RM19.75 bilion.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.